Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.03.05

Selangor lawan Melaka ditangguh

Oleh: pippo

Perlawanan Liga Perdana di antara Selangor dan Melaka yang dijadualkan berlangsung malam tadi telah ditangguhkan ke pukul 8.45 malam ini akibat padang bertakung. Walaupun pengumuman di scoreboard stadium malam tadi menyatakan bahawa kemasukan malam ini adalah percuma, penonton yang masih mempunyai keratan tiket malam tadi dinasihatkan membawa tiket tersebut.

 

Hujan lebat yang turun di Shah Alam di sebelah petang mengakibatkan padang stadium Shah Alam bertakung air namun keadaan beransur pulih menjelang waktu sepak mula. Peminat yang mula memenuhi stadium menaruh harapan perlawanan akan diteruskan setelah pengumuman di scoreboard stadium menyatakan perlawanan akan ditangguhkan kira-kira 1 jam. Namun pada pukul 9.15 malam, pengadil perlawanan dengan persetujuan pengurus kedua-dua pasukan mengambil keputusan untuk menangguhkan perlawanan.

 

Keputusan awal pihak pengurusan menyatakan bahawa perlawanan ditunda ke pukul 8.30 pagi menimbulkan kemarahan penyokong yang majoritinya pasti tidak dapat menghadirkan diri kerana bekerja atau meneruskan pengajian menyebabkan berlaku beberapa perkara yng tidak diingini. Penonton yang rata-ratanya tidak berpuas hati masih tidak berganjak sambil menjerit meminta perlawanan diteruskan atau wang mereka dikembalikan.

 

Keadaan hanya menjadi reda apabila pengumuman dilakukan memberitahu bahawa perlawanan diubah dari 8.30 pagi ke 8.45 malam. Ditambah pula dengan kehadiran Polis Simpanan Persekutuan (FRU), penonton bergerak meninggalkan stadium pada kira-kira pukul 10 malam.

 

Petikan BERNAMA menyebut seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata pihaknya terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat insiden itu.

 

"Kita sudah mengemukakan permohonan mesin menyedut air bagi stadium ini namun akibat sering bertukar pengurusan, stadium ini masih tidak mempunyai peralatan tersebut sehingga kini," katanya.

 

Malang buat pasukan Selangor, kerana di samping kerugian akibat penangguhan perlawanan dan terpaksa membayar kos pembaikpulihan kos stadium kepada MBSA akibat kerosakan yang dialami semalam, dijangka juga tidak dapat menggunakan khidmat Elie Aiboy malam ini. Elie dijadualkan menaiki penerbangan 10 pagi ini ke Perth Australia untuk menyertai skuad Indonesia menentang Australia dalam perlawanan persahabatan yang dijadualkan pada pukul 7.00 malam, Selasa waktu Australia. Yang pasti Selangor pasti sekali lagi pincang tanpa kehadiran pemain paling berharga mereka.