Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
25.03.05

Selangor mahu mantapkan pertahanan

Oleh: Berita Harian

Satim bersalaman dengan peserta klinik bola sepak (Berita Harian)

Kekalahan kepada MK Land yang menyaksikan kedudukan mereka selaku pendahulu Kumpulan A turut dirampas, menyedarkan Selangor betapa skuad itu belum benar-benar mantap khususnya di bahagian pertahanan yang memerlukan pemulihan segera.

 

Pasukan itu yang dibolosi gol dalam setiap perlawanan setakat ini tidak mahu lagi kerapuhan benteng pertahanan terus berlarutan, sekali gus menjejaskan usaha mereka untuk layak ke saingan bola sepak Liga Super musim depan.

 

Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman berkata, selepas ini Selangor akan memberi penekanan khusus memantapkan benteng pertahanan yang dilihat antara faktor utama kegagalan mereka mempertahankan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A Liga Perdana.

 

“Kami baru selesai melakukan bedah siasat selepas tamat pusingan pertama. Berdasarkan penilaian keseluruhan, kami berpuas hati dengan prestasi semua pemain kecuali barisan pertahanan yang perlu diperkuatkan.

 

“Selangor berjaya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan tetapi kerapuhan pertahanan menyaksikan kami juga dibolosi gol dalam setiap perlawanan.

 

“Keadaan ini tidak boleh berterusan dan kami akan memberi tumpuan serius terhadap benteng pertahanan selepas ini,” katanya selepas merasmikan Seminar Kejurulatihan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Petaling Jaya di Sekolah Rendah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 2, Puchong semalam.

 

Seminar sehari itu bertujuan memberi pendedahan terhadap guru-guru di daerah Petaling mengenai teknik kejurulatihan bola sepak yang dikendalikan oleh bekas jurulatih Selangor, Ken Worden dan jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim.

 

Sempena seminar itu, Satim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puchong turut menyampaikan 500 keping tiket perlawanan Liga Perdana antara Selangor menentang Melaka Ahad ini kepada murid-murid sekolah daerah Petaling dan peserta seminar.

 

Selangor setakat ini sudah memboloskan 10 gol dari tujuh perlawanan liga dan kekalahan 2-3 kepada MK Land pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Perdana hujung minggu lalu turut menyaksikan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan A dipintas oleh pencabar mereka itu dengan kelebihan satu mata.

 

Satim menegaskan, Selangor memang menyedari kelemahan benteng pertahanan sejak awal saingan dan ketiadaan bek tengah Nazrulerwan Makmor yang digantung akibat kad merah dan kecederaan dua tonggak tengah iaitu kapten pasukan, Shukor Adan dan pemain import, Elie Aiboy memburukkan lagi keadaan terutama ketika menentang MK Land.

 

“Ketiadaan Shukor dan Elie menyebabkan Selangor hilang kemantapan di bahagian tengah yang sering menjadi senjata kami mengelakkan lawan melepasi ke benteng pertahanan.

 

“Itulah yang terjadi ketika menentang MK Land tetapi kami sedang berusaha untuk memperbaiki kelemahan itu untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

 

“Bermula perlawanan menentang Melaka hujung minggu ini, Selangor akan bangkit kembali dan mencipta kemenangan besar seperti pada perlawanan awal liga,” katanya yang memberi bayangan Elie yang direhatkan dalam dua perlawanan sebelum ini akan kembali diturunkan selepas kecederaan lutut kirinya semakin pulih.