Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.04.05

Selangor 4 Kuala Lumpur 3 (Liga Perdana)

Oleh: misai117

Selangor bangkit daripada ketinggalan 2-3 kepada Kuala Lumpur pada 10 minit terakhir permainan untuk mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas skuad wargakota itu di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

 

Biarpun mendahului selesa 2-0 pada babak pertama, Selangor seakan kehilangan rentak apabila membenarkan pihak lawan menjaringkan 3 gol selepas itu. Selangor menurunkan kesebelasan yang sama ketika menentang TNB Kelantan Ahad lepas.

 

Tanpa menunggu lama, Selangor membuka tirai jaringan seawal minit ke-4. Gol tersebut terhasil apabila K. Sanbagamaran bijak merampas bola dari pemain lawan di tengah padang sebelum menguis pendek kepada ketua pasukan, Shukor Adan yang melorong leret bola tersebut tepat ke hadapan luar kotak penalti Kuala Lumpur lalu disambar pantas oleh Bambang Pamungkas yang terus menyungkit cantik terus ke dalam gawang gol.

 

10 minit kemudian, giliran Brian Fuentes pula untuk menggegarkan jaring gol Kuala Lumpur. Kali ini, Selangor melakukan gerakan pantas dengan hantaran-hantaran pendek, tepat dan pantas. Hasilnya, tolakan ke belakang menggunakan tumit oleh Shukor Adan tepat ke kaki Brian Fuentes dalam kotak penalti. Peluang itu sama sekali tidak dilepaskan oleh Brian Fuentes yang tenang menyumbat masuk gol kedua Selangor pada minit ke-14.

 

Namun, selepas selesa mendahului 2-0, Selangor kelihatan kurang bernafsu untuk menambah jaringan dan Kuala Lumpur dilihat mula melakukan asakan demi asakan. Akibatnya, hasil terjahan kasar penyerang Kuala Lumpur, Jamsari Sabian yang menjadi benteng terakhir Selangor pada malam ini telah mengalami kecederaan kaki. Ketika permainan separuh masa menuju ke penghujungnya,Jamsari Sabian tidak dapat meneruskan aksi kerana kecederaan tersebut dan terpaksa digantikan oleh Shahrizan Ismail pada minit ke-43.

 

Biarpun masih mengalami kecederaan pergelangan tangan sewaktu perlawanan persahabatan menentang Perlis dua minggu lepas, Shahrizan terpaksa juga diturunkan malam ini setelah berehat ketika perlawanan menentang TNB Kelantan Ahad lepas.

 

Babak kedua bermula dengan Kuala Lumpur terus melancarkan serangan demi serangan. Hasilnya, mereka memperolehi sepakan percuma yang berjaya disudahkan oleh Carlos Quinones pada minit ke-47.

 

Selang 15 minit kemudian, benteng Selangor tergamam lagi apabila Reeshafiq Alwi melakukan sepakan dari luar kotak penalti ketika Shahrizan Ismail telah terkeluar dari posisi dan hanya mampu melihat sahaja bola tersebut menerjah jaring untuk gol penyamaan Kuala Lumpur.

 

Selangor melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Haris Safwan bagi menggantikan Khalid Jamlus pada minit ke-65 dan D. Surendran bagi menggantikan Elie Aiboy pada minit ke-72.

 

Namun pada minit ke-77, giliran Kuala Lumpur pula berada di hadapan setelah hantaran-hantaran pendek yang dilakukan jentera serangan mereka berjaya membolosi pertahanan Selangor dan S. Sunder tidak mensia-siakan peluang terbuka di dalam kotak penalti Selangor dan merembat deras untuk kedudukan 3-2 memihak kepada Kuala Lumpur.

 

Suasana di stadium mulai suram dengan penonton Selangor semakin resah apabila jentera serangan Selangor masih gagal menambah jaringan. Tetapi,sepakan percuma pada minit ke-82 telah mengubah suasana di stadium. Bola sepakan percuma Bambang Pamungkas terbias oleh benteng yang dibina dan berjaya mengelirukan penjaga gol Kuala Lumpur untuk gol penyamaan Selangor.

 

Ketika Kuala Lumpur cuba untuk bertahan dan seakan mahu pulang dengan satu mata, Brian Fuentes berjaya menghancurkan impian skuad wargakota untuk berkongsi mata pada minit ke-87. Setelah menerima hantaran jauh yang tepat kepada beliau, Brian Fuentes tidak mensia-siakan peluang terbuka tersebut dengan bijak melambungkan bola tepat ke dalam gawang gol pasukan Kuala Lumpur untuk kedudukan muktamad, Selangor menang 4-3 ke atas Kuala Lumpur untuk terus menguasai persada Liga Perdana bagi Kumpulan A.

 

SELANGOR:

1-JAMSARI SABIAN (22- SHAHRIZAN ISMAIL), 2-THARMINI SAIBAN, 3-RAZMAN ROSLAN,5-NAZRUL ERWAN, 15- P.GUNALAN, 8- ELIE AIBOY (19- D.SURENDRAN), 10- BRIAN FUENTES, 12- K.SANBAGAMARAN, 25- SHUKOR ADAN, 20- BAMBANG PAMUNGKAS,23-KHALID JAMLUS (9- HARIS SAFWAN).