Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.04.05

Selangor adakan tiga ujian

Oleh: Berita Harian

Tiga perlawanan persahabatan yang diatur dengan skuad bola sepak Liga Super sepanjang tempoh rehat liga hingga hujung bulan akan menjadi medan buat Selangor menguji tahap kemampuan pemain selepas dikenalpasti kelemahan sebelum ini.

 

Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman berkata, skuad itu mengenalpasti beberapa kelemahan hasil bedah siasat selepas tamat saingan pusingan pertama Liga Perdana baru-baru ini dan mahu menjadikan perlawanan persahabatan berkenaan sebagai kayu pengukur keupayaan pemain.

 

Katanya, Selangor sedar cabaran yang ditampilkan oleh pencabar mereka dalam saingan Liga Perdana semakin sengit terutama selepas dikejutkan dengan kekalahan pertama musim ini kepada MK Land.

 

“Selangor perlu lebih mantap untuk terus kekal di takhta Kumpulan A, sekali gus memastikan usaha layak ke Liga Super musim depan menjadi kenyataan.

 

“Kami tidak mahu mencicirkan sebarang mata lagi selepas kekalahan tunggal 2-3 kepada MK Land sebelum ini. Ia pengajaran berguna bagi kami apa lagi kehilangan posisi sebagai pendahulu Kumpulan A seketika sebelum dapat merampasnya kembali.

 

“Setakat ini, kami sudah mendapat persetujuan Perlis untuk mengadakan perlawanan persahabatan timbal balik. Kami akan berkunjung ke Kangar Rabu ini sebelum mereka pula ke Selangor pada 10 April nanti.

 

“Selangor bercadang mengadakan sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Super dan kami sedang menanti persetujuan beberapa lagi pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan seterusnya,” katanya.

 

Pendahulu Kumpulan A saingan Liga Perdana itu yang kini hanya dua mata mendahului pencabar terdekat, MK Land selepas mengumpul 19 mata daripada lapan perlawanan.

 

Selain bertekad tidak mahu tewas lagi dalam baki saingan, pengurusan Selangor juga mengambil tindakan drastik memberi amaran kepada pertahanan import dari Australia, Badawi Farrah supaya meningkatkan prestasi dalam tempoh sebulan jika mahu dikekalkan dalam skuad.

 

Selangor akan menyambung semula kempen Liga Perdana bertemu TNB Kelantan di tempat lawan pada 24 April ini.