Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.04.05

Selangor mampu sambung rentak

Oleh: Harian Metro

REKOD kemenangan Selangor 4-1 ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan di pusingan pertama Kumpulan A Liga Perdana sebelum ini mampu diteruskan walaupun pasukan Merah Kuning itu terpaksa menjadi tuan rumah di stadium lawan.

 

Jika dalam perlawanan sebelum ini yang diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Selangor adalah pasukan pelawat, saingan Rabu nanti giliran Kuala Lumpur pula menjadi pasukan pelawat.

 

Ini disebabkan, Stadium Shah Alam yang menjadi kubu kuat Selangor sebelum ini tidak dapat digunakan apabila menjalani proses baik pulih selepas insiden penonton mengamuk dan membakar tempat duduk semasa pasukan Merah Kuning itu menentang Melaka yang ditangguhkan akibat padang dipenuhi air.

 

Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata perpindahan stadium itu tidak memberi masalah besar kepada pendahulu kumpulan A itu untuk terus melebarkan mata kemenangan mereka.

 

“Kita sudah buktikan sebelum ini, kita mampu menang di mana saja dengan Kuala Lumpur menjadi mangsa dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum ini.

 

“Kemenangan besar itu membangkitkan keyakinan kepada kita bahawa rekod kemenangan itu boleh diteruskan dalam perlawanan Ahad nanti,” katanya.

 

Ketika ini Selangor mendahului Kumpulan A Liga Perdana dengan mengutip 22 mata, sementara Kuala Lumpur di tempat keempat dengan 17 mata. Pencabar kuat Selangor, MK Land hanya dua mata di belakang iaitu 20 mata, sementara Kedah di tempat ketiga apabila mengutip 19 mata.

 

Satim berkata, keyakinan tinggi itu turut tercetus berikutan persembahan cemerlang yang ditunjukkan kesebelasan utama Gergasi Merah itu termasuk trio importnya.

 

“Dalam perlawanan Ahad lalu, kita gembira apabila dapat menggunakan khidmat tiga penyerang import iaitu Brian Fuentes, Elie Aiboy dan Bambang Pamungkas.

 

“Kita juga mendapat khidmat pemain kebangsaan yang cergas sepenuhnya seperti kapten pasukan Shukor Adan, Ahmad Tarmini Saiban, Nazrulerwan Makmor dan D Surendran,” katanya.