Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.05.05

Cabaran getir hantui Selangor

Oleh: Harian Metro

Mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Kumpulan A bukan satu tugas mudah bagi Gergasi Merah selepas merasai betapa getirnya mengharungi cabaran saingan dalam musim ini.

 

Pasukan Merah Kuning itu sudah tentu tidak mahu melupakan pengalaman pahit apabila kedudukan di tangga teratas Kumpulan A pada saingan peringkat pertama terancam selepas dikejutkan dengan dua kekalahan kepada pesaing terdekat, MK Land dan Kedah.

 

Kehilangan enam mata dalam dua perlawanan itu membuatkan Selangor belum berani mendabik dada bahawa mereka adalah pasukan terbaik Liga Perdana musim ini.

 

Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata walaupun jurang tujuh mata memisahkan pasukan itu dengan MK Land dan Kedah dalam Kumpulan A, ia tidak bermakna pasukan Merah Kuning itu berada dalam kedudukan yang selesa.

 

“Musim Liga Perdana masih panjang dan berbaki enam perlawanan lagi, apa saja kemungkinan boleh berlaku.

 

“Di sebabkan itu, kami tidak mengambil sikap mudah dalam setiap perlawanan yang akan dilalui dalam saingan peringkat ketiga selepas ini,” katanya.

 

Selangor kini menghuni tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A selepas mengutip 37 mata, tujuh mata di depan pencabar terdekat MK Land dan Kedah, tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan.

 

MK Land akan bertemu Kedah dalam perebutan tempat kedua Kumpulan A malam ini.

 

Dalam saingan peringkat ketiga 7 Jun depan, Gergasi Merah akan menentang TNB Kelantan di tempat lawan.

 

Satim berkata, selepas tamat saingan kedua minggu lalu, semua pemain Selangor diberi cuti selama seminggu tetapi mereka diingatkan supaya menggunakan masa rehat itu sebaik mungkin.

 

“Kita mahu apabila mereka kembali menjalani latihan minggu depan, mereka berada dalam keadaan fizikal terbaik dan mental yang kuat kerana saingan peringkat ketiga lebih hebat berbanding dua saingan sebelum ini,” katanya.

 

Satim amat lega apabila semua pemain Merah Kuning tidak ditimpa sebarang kecederaan serius bagi menghadapi saingan pusingan ketiga dua minggu lagi.

 

“Kita amat berharap dalam enam perlawanan yang bakal diharungi nanti, kita dapat menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan kita memenangi setiap perlawanan.

 

“Jika sebelum ini banyak perancangan dan strategi yang terpaksa dirombak akibat kecederaan pemain, kita mahu selepas ini perancangan itu berjalan lancar sepenuhnya,” katanya.

 

Katanya, kemampuan pemain Selangor yang mencatat kejayaan ke atas Pilihan Singapura dalam kejohanan Piala Sultan Selangor Ahad lalu adalah bukti bahawa mereka boleh memenangi perlawanan dan mempamerkan persembahan terbaik.

 

“Persembahan inilah yang mahu dilihat penyokong setia Selangor dan semestinya ia diteruskan dalam saingan selepas ini.

 

“Kita bukan saja mahu menang, tetapi kita menang dengan bergaya,” katanya.