15.05.05
Medan peledak tunjuk taring
Oleh: Harian Metro
Pertembungan Selangor dan MK Land di Stadium Selayang, malam esok, bukan sekadar menentukan pasukan mana yang akan layak ke Liga Super musim depan, tetapi juga menyaksikan siapa sebenarnya penjaring terhebat Liga Perdana musim ini.
Penyerang import Selangor dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan penyerang MK Land Marlon Alex James, masing-masing menduduki senarai teratas penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 16 jaringan.
Seorang lagi penyerang berbisa Selangor, Brian Fuentes, pula berada di tempat kedua dengan 14 jaringan.
Kehebatan Bambang dan Fuentes membantu Selangor mengumpul 46 jaringan setakat ini, sementara ketajaman Alex James di depan gawang membantu pasukannya mengumpul 39 jaringan.
Pertahanan Selangor pula bocor sebanyak 18 kali, sementara benteng MK Land ditembusi sebanyak 14 kali.
Selangor yang menderita akibat tewas 2-3 kepada MK Land di Stadium Shah Alam pada 20 Mac lalu, pastinya tidak mahu mengulangi episod duka itu sekali lagi.
Janji pemain Gergasi Merah itu kepada jurulatih Selangor, Dollah Salleh, selepas sesi latihan petang semalam menyemarakkan semangat mereka untuk mengulangi kehebatan ketika membenam cabaran Brunei dan Melaka dalam dua pertemuan terakhir sebelum ini.
Brunei ditumbangkan 3-0 Ahad lalu, sementara Melaka dibelasah 4-0 kelmarin dengan kedua-dua perlawanan itu diadakan di Stadium Petaling Jaya.
Dollah berkata, pemain pasukan Merah Kuning itu berjanji untuk mengerah kudrat mereka seratus peratus bagi memastikan giliran MK Land pula yang menderita kali ini.
“Mereka berjanji akan memberikan yang terbaik pada perlawanan Ahad nanti dan janji itu membuatkan keyakinan saya terhadap kemampuan mereka untuk memenangi perlawanan ini begitu tinggi sekali.
“Saya begitu gembira apabila mereka sudah melupakan kekalahan sebelum ini dan begitu bersemangat sekali apabila masing-masing minta diturunkan dalam pertemuan ini, tapi yang pastinya hanya yang terbaik akan beraksi nanti” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Dollah juga enggan mendedahkan strategi khas yang akan digunakan untuk memastikan kemenangan dicapai dalam perlawanan itu.
“Memang saya mempunyai strategi untuk perlawanan Ahad ini tetapi saya tidak akan dedahkan sekarang. Penyokong Selangor hanya boleh tunggu dan lihat permainan kami malam esok.
“Apa yang penting sekali ialah kemenangan dengan tiga mata itu akan melonjakkan Selangor terus di takhta liga,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman, berkata kesebelasan Selangor diminta supaya tidak tertekan dengan harapan menggunung peminat yang tentu sekali mahu menyaksikan pasukan kesayangan mereka itu meraih kemenangan dalam perlawanan itu.
“Pemain tahu tanggungjawab masing-masing dan juga mereka maklum bahawa penyokong Selangor semakin dahagakan kejayaan pasukan ini.
“Jadi, saya hanya meminta mereka berikan persembahan terbaik supaya mereka dapat memenangi perlawanan ini nanti dan menutup tirai pusingan kedua sebagai juara kumpulan,” katanya.
Selangor kini menduduki tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A dengan 34 mata selepas 14 perlawanan, sementara MK Land di tempat kedua apabila mengutip 30 mata tetapi hanya baru beraksi 13 perlawanan