19.05.05
Pahang 1 Selangor 1 (Piala FA Pusingan 1, L2)
Oleh: misai117
Selangor mara ke Pusingan Kedua Piala FA 2005 setelah menyingkirkan Juara Liga Super 2004 dengan agregat 5-2 setelah skuad Tok Gajah itu hanya mampu seri 1-1 dengan Selangor di Stadium Darulmakmur malam tadi.
Pahang tidak menurunkan kesebelasan utama, sebaliknya membariskan pemain-pemain simpanan dan juga pemain-pemain dari skuad Piala Presiden sementara Selangor turun tanpa Nazrul Erwan, Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan K. Sanbagamaran.
Penonton malam ini juga diberikan tiket percuma untuk menyaksikan perlawanan ini setelah mendapat titah dari Tengku Muda Pahang.
Babak pertama menyaksikan aksi yang kurang kemas dari skuad Gergasi Merah apabila membiarkan pemain-pemain muda Pahang menguasai permainan.
Akibatnya, pada minit ke-24, Eswadi Mokhtar telah meletakkan skuad tuan rumah di hadapan apabila menyumbat gol pembukaan perlawanan untuk merapatkan agregat menjadi 4-2 yang masih berpihak kepada Selangor. Namun, Pahang gagal menambah jaringan sehingga tamat babak pertama.
Bermula babak kedua, Dollah Salleh segera membuat pertukaran dengan memasukkan Aiman Firdaus bagi menggantikan Tharmini Saiban yang tampak kurang bermaya pada babak pertama.
Hasilnya, 5 minit selepas itu, Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Shukor Adan. Gol tersebut terhasil apabila ketua pasukan Selangor itu menyudahkan hantaran Elie Aiboy pada minit ke-50.
Selepas jaringan tersebut, Selangor kembali menguasai permainan dan beberapa peluang keemasan dipersiakan oleh jentera serangan Selangor yang diterajui Brian Fuentes dan Haris Safwan.
Dua pertukaran terakhir dilakukan Selangor dengan mengeluarkan Elie Aiboy dan D. Surendran lalu memasukkan Fairuz Montana dan P. Gunalan.
Namun, tiada sebarang gol berjaya dihasilkan dan Pahang juga gagal merapatkan jurang gol untuk mendekatkan agregat.
3 minit masa tambahan diberikan, namun kedudukan kekal 1-1 untuk Selangor terus melangkah ke Pusingan Kedua Piala FA 2005.
SELANGOR:
22- SHAHRIZAN ISMAIL, 2- THARMINI SAIBAN (18- AIMAN FIRDAUS), 4- BUDDY FARAH, 6- SAIFULNIZAM HUSSAIN, 19- D.SURENDRAN (15- P.GUNALAN), 8- ELIE AIBOY (11- FAIRUZ MONTANA), 7- NAZZAB HIDZAN, 25- SHUKOR ADAN, 17- AMRI YAHYAH, 9- HARIS SAFWAN, 10- BRIAN FUENTES.