Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.05.05

Percaturan Dollah mengena

Oleh: Berita Harian

PERCATURAN jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang tidak menurunkan penyerang import, Brian Fuentes ketika bertemu pencabar utama saingan Kumpulan A bola sepak Piala Liga, MK Land kelmarin, nyata berbaloi.

 

Langkah Dollah mengisi kuota tiga pemain import dalam satu perlawanan dengan menurunkan pemain pertahanan, Badawi Farrah bagi menggantikan tempat Fuentes jelas berupaya mengehadkan sumbangan penyerang tinggi lampai MK Land, Marlon Alex James.

 

Dua lagi pemain import Merah Kuning yang beraksi adalah Bambang Pamungkas - penyumbang dua gol ketika menundukkan MK Land 3-2 dan Elie Aiboy.

 

“Tanpa kehadiran Brian, Selangor masih memiliki senjata yang mencukupi untuk menumbangkan MK Land,” kata pengurus pasukan, Datuk Satim Diman.

 

Namun, Dollah mungkin terpaksa merombak barisannya bagi perlawanan esok apabila bertandang ke Kuantan untuk bertemu pasukan tangga kedua Liga Super, Pahang dalam perlawanan kedua pusingan pertama Piala FA. Selangor menang pertemuan pertama 4-1.

 

Apa yang pasti Farrah, Khalid Jamlus, K Sanbagamaran mengalami kecederaan selain penggantungan Nazrulerwan Makmor yang dibuang padang ketika bertemu MK Land, kelmarin.

 

Begitupun, masih ada berita baik untuk Dollah apabila penjaga gol utama, Jamsari Sabian yang cedera ketika bertemu Kuala Lumpur sudah kembali menjalani latihan, sekali gus memberinya pilihan selain Mohd Shahrizan Ismail.

 

Merah Kuning sememangnya mahukan barisan terbaik apabila bertandang ke Kuantan, lebih-lebih lagi dengan kegarangan Pahang menjinakkan Perak 4-1 dalam Liga Super, kelmarin.

 

Pada masa sama, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu tentunya mahu menebus kekalahan 1-4 dalam pertemuan pusingan pertama di Stadium Shah Alam, bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.