23.05.05
Pilihan Selangor 3 Pilihan Singapura 1
Oleh: Berita Harian

Pemain bersama Piala Sultan Selangor (NSTP)
Pilihan Selangor menjuarai saingan bola sepak Piala Sultan Selangor 2005 apabila mengatasi Pilihan Singapura 3-1 dalam perlawanan edisi keempat di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Tampil dengan tekad untuk tidak diaibkan di depan penyokong sendiri, kemenangan buat kali ketiga selepas kedua-dua pasukan diisytihar johan bersama di Stadium Nasional di Kallang tahun lalu, Selangor turut menepati ikrar meraikan sambutan sebagai Negeri Maju tahun ini.
Merah Kuning tampil dengan menyenaraikan tiga pemain jemputan dari MK Land manakala Singapura dibarisi skuad muda kebangsaan Young Lions dan pemain jemputan kelab profesional Liga-S, dan tiga gol yang terhasil di babak pertama sudah cukup memeriahkan suasana kemenangan yang bermula dengan persembahan bunga api sebelum permainan bermula.
Sebaik wisel permulaan oleh pengadil Vietnam, Vo Minh Tri, Pilihan Selangor menguasai permainan tetapi lawan yang membuat percubaan pertama menerusi sepakan liar pemain kelab Woodlands Wellington FC, Ahmad Latiff Khamarudin pada minit ketiga.
Malah penjaga gol Selangor, Mohd Shahrizan Ismail terpaksa bekerja keras seminit kemudian apabila cubaan Shi Jia Yi yang terkena badan Akihiro Nakamura hampir memerangkap benteng tuan rumah yang diterajui pertahanan kebangsaan, Nazrulerwan Makmor.
Ketika pergerakan penyerang jemputan MK Land, Marlon Alex James dikawal ketat pemain tinggi lampai Fathi Yunos, rakan sepasukan Md Noor Derus memilih haluan kepada Bambang Pamungkas yang dibenarkan bergerak bebas dan penjaring terbanyak Liga Perdana itu tidak menghampakan apabila menanduk masuk gol pertama pada minit ke-12 buat Pilihan Selangor.
Begitupun, Pilihan Singapura tidak menunggu lama untuk mengikat semula kedudukan empat minit kemudian apabila sepakan percuma Ahmad Latiff ditanduk masuk Baihakki Khaizan dari dalam kotak penalti, sekali gus meredakan sorakan lebih 70,000 penyokong Merah Kuning.
Permainan kembali menjadi lebih berhati-hati selepas itu dan dalam permainan turun-naik di antara kedua-dua pasukan, Bambang sekali lagi menggegar gawang apabila meledakkan rembatan rendah ketika menyambut bola lintang kapten, Shukor Adan untuk meletakkan Selangor kembali di depan pada minit ke-32.
Selangor yang meningkatkan permainan selepas jaringan semangat itu terus kukuh di depan apabila sepakan percuma Md Noor dari luar kotak penalti selepas Bambang dikasari Baihakki, melencong melepasi tembok pemain dan menerjah penjuru kanan gawang biarpun Lionel Lewis melayangkan badan pada minit ke-37.
Singapura menguasai saingan awal babak kedua dan nyaris merapatkan kedudukan apabila pemain gantian Qiu Li yang mendapat peluang dari dalam kotak penalti merembat sipi pada minit ke-55 tatkala beberapa pertukaran yang dilakukan jurulatih Dollah Salleh menjejaskan kelancaran rentak Selangor.
Selangor: Shahrizan Ismail (Jamsari Sabian), Nazrulerwan Makmor, Ahmad Tharmini Saiban, D. Surendran, K. Sanbagamaran, Bambang Pamungkas, Mohd Shukor Adan, Elie Aiboy, Farah Badui (Brian Fuentes), Mohd Noor Derus (Aiman Firdaus Tan), Marlon Alex James (Miroslav Toth).
Singapore: Lionel Lewis, Daniel Benneth, Fathi Yunos, Baihakki Khaizan, Akihiro Nakamura, Ahmad Latiff Khamarudin, Jon Angelucci (Qiu Li), Masreswan Masturi, Hashrin Jailani, Precious Emuejeraye, Shia Jia Yi (Mark Williams)