Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.05.05

Selangor congak slot Liga Super

Oleh: Harian Metro

Gergasi Merah menanam azam menggunung memenangi baki enam perlawanan pusingan ketiga Liga Perdana untuk menempah tiket beraksi di Liga Super musim depan.

 

Selepas menduduki takhta kumpulan A dengan pungutan 37 mata daripada 15 perlawanan termasuk perlawanan menentang Melaka minggu lalu, membuktikan kehebatan Selangor mengharungi ranjau dua pusingan Liga Perdana musim ini.

 

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, berkata kemenangan dalam baki enam perlawanan di pusingan ketiga itu amat penting terutama dalam usaha memastikan pasukan Merah Kuning mencapai matlamat utama yang ditetapkan sebelum ini.

 

“Sebagai pendahulu kumpulan ini, Selangor pastinya dicemburui lawan yang sudah tentu mahu mempamerkan aksi terbaik bagi menumpaskan kami.

 

“Berikutan itu, pemain mesti melipat-gandakan prestasi mereka bagi memastikan kita mencapai kejayaan dalam semua perlawanan di pusingan ketiga nanti,” katanya.

 

Katanya, pusingan ketiga nanti pastinya memberi tekanan tinggi ke atas barisan pemainnya dalam usaha mempertahankan kedudukan sebagai pendahulu takhta kumpulan A.

 

“Bagaimanapun, saya selalu berpesan kepada pemain saya supaya sentiasa fokus terhadap setiap perlawanan dan bukan memandang mudah pasukan yang berada di tangga bawah liga.

 

“Saya juga mengingatkan mereka supaya tidak tertekan dengan cabaran yang diberikan pasukan lain supaya mereka tidak hilang tumpuan yang akibatnya hanya akan merugikan pasukan kita,” katanya.

 

Mengenai cabaran daripada Kedah dan MK Land, dua pasukan yang pernah menewaskan Selangor sebelum ini, Dollah berkata, dia tidak menghiraukan saingan berkenaan kerana baginya yang lebih penting ialah memastikan pasukan Merah Kuning sentiasa berada pada tahap terbaik.

 

“Jika Selangor berada pada prestasi terbaik, sudah tentu kita boleh memenangi setiap perlawanan.

 

“Berikutan itu, saya tidak mahu mengambil tahu mengenai kekuatan atau kelemahan pasukan lain, fokus saya cuma mahu memastikan pemain sentiasa di tahap terbaik,” katanya.

 

Katanya, dia juga berharap dapat menurunkan kesebelasan utama dalam pusingan ketiga nanti selepas hanya mampu berbuat demikian dalam dua atau tiga perlawanan sebelum ini.

 

“Memang agak malang selepas saya gagal menggunakan khidmat pemain terbaik dalam hampir semua perlawanan lalu, dan selepas ini saya mahu memastikan masalah itu berulang.

 

“Pusingan ketiga ini pastinya lebih sengit dan kerana itu saya mengharapkan penyokong setia Merah Kuning terus memberi sokongan kerana itu sudah tentu menaikkan semangat pemain berjuang di tengah padang,”.