Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.05.05

Selangor tidak mahu dabik dada

Oleh: Berita Harian

Biarpun berbekalkan kelebihan selesa mengharungi perlawanan kedua pusingan pertama bola sepak Piala FA menentang Pahang di Kuantan malam ini, Selangor tidak mahu mendabik dada atau menganggap kemaraan sudah sah milik mereka.

 

Sebaliknya, Merah Kuning menganggap lawan mereka yang semakin menunjukkan peningkatan itu harus ditangani dengan berhati-hati kerana Pahang sudah semestinya akan berjuang habis-habisan untuk mengelakkan tersingkir di pusingan awal.

 

“Kami sedar, Pahang kini umpama harimau terluka dan akan berjuang habis-habisan untuk mengelakkan maruah mereka tercalar jika tersingkir.

 

“Bagi saya, kemenangan besar yang dicatat pada perlawanan pertama tidak boleh dijadikan ukuran dan Selangor perlu beraksi dengan tanggapan kedudukan masih 0-0 dan perlu memburu gol untuk menang,” kata jurulatih, Dollah Salleh.

 

Pada perlawanan pertama di Shah Alam, Selangor menundukkan Pahang 4-1 sekali gus memberikan mereka kelebihan selesa untuk mara ke pusingan seterusnya.

 

Bagi perlawanan malam ini, Dollah tidak dapat menurunkan beberapa tonggak iaitu Khalid Jamlus, K Sanbagamaran dan pertahanan import Badawi Farrah kerana kecederaan selain pertahanan kebangsaan Nazrulerwan Makmor yang dibuang padang ketika menentang MK Land dalam perlawanan Liga Perdana Ahad lalu.

 

Dollah juga dijangka menurunkan semula penjaring terbanyak musim lalu Brian Fuentes selepas penyerang import dari Argentina itu direhatkan ketika menentang MK Land untuk kembali digandingkan dengan Bambang Pamungkas.