Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
12.05.05

Selangor turun barisan terbaik

Oleh: Harian Metro

Tanpa mahu mengambil risiko berputih mata di penghujung musim, Gergasi Merah bakal menampilkan kesebelasan terbaik menghadapi tentangan Melaka di Stadium Petaling Jaya, malam esok.

 

Walaupun Melaka sebelum ini dibelasah 7-2 oleh TNB Kelantan, Ahad lalu, dan Selangor mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Brunei, memandang mudah cabaran esok bakal mengundang padah kepada pasukan Merah Kuning itu.

 

Itulah yang mahu dielakkan jurulatih Selangor, Dollah Salleh, apabila menyedari kemampuan Melaka yang hanya tewas tipis 1-0 dengan MK Land sebelum ini.

 

“Kita tidak memandang mudah cabaran Melaka dan kita tetap mengambil sikap berhati-hati dalam semua baki perlawanan yang akan kita lalui selepas ini.

 

“Sikap itu hanya akan membawa padah dan kerana itu hanya pemain yang mempunyai prestasi terbaik saja akan diturunkan dalam perlawanan ini nanti,” katanya.

 

Selangor ketika ini berada di tangga teratas Liga Perdana Kumpulan A apabila mengutip 31 mata, meninggalkan MK Land di tangga kedua dengan 30 mata, sementara Kedah dengan 29 mata.

 

Dollah berkata, ketika ini dia boleh menarik nafas lega apabila semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan tiada sebarang kecederaan atau masalah penggantungan permainan.

 

“Inilah saatnya kita mampu menurunkan kesebelasan terbaik dan peluang ini tidak akan kita lepaskan untuk mengutip tiga mata berharga apabila bertemu Melaka nanti.

 

“Keyakinan pemain juga nampaknya semakin meningkat apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut selepas tewas kepada Kedah tempoh hari,” katanya.

 

Dollah juga terpaksa memikirkan mengenai kemampuan pemainnya mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu ini iaitu pertemuan menentang Brunei Ahad lalu, Melaka pada Khamis ini dan pertemuan getir dengan MK Land, Ahad ini.

 

“Inilah yang paling saya risaukan sekali kerana khuatir pemain akan mengalami keletihan selepas mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu.

 

“Tetapi inilah cabaran sebenarnya yang pemain harus terima dan saya sudah memaklumkan kepada mereka supaya sentiasa menjaga diri masing-masing dan menggunakan masa rehat yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

 

Pertemuan dengan Brunei Ahad lalu menunjukkan prestasi Selangor kembali menyinar seperti yang ditunjukkan pada awal musim dengan menampilkan permainan kemas dan menghasilkan beberapa peluang di depan gawang.

 

Kemampuan menampilkan permainan bertenaga seperti itu turut mengundang kembali sokongan peminat setia Merah Kuning apabila kira-kira 10,000 penonton memenuhi Stadium Petaling Jaya, Ahad lalu.