Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.05.05

Veteran Selangor 1 Veteran Singapura 2

Oleh: Berita Harian

SELEPAS tiga kali mencuba, Veteran Singapura memenangi perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor buat kali pertama apabila mengatasi Veteran Selangor 2-1 dalam perlawanan edisi keempat di Stadium Shah Alam, malam tadi.

 

Lebih manis buat Veteran Singapura yang dipimpin jurulatih D J Peter itu, kemenangan menerusi dua gol pemain yang pernah berkelana di FC Gronigen, Fandi Ahmad itu dicatat di depan hampir 70,000 penonton yang sebahagian besarnya penyokong Merah Kuning.

 

Aksi di babak pertama cukup menghiburkan dengan sentuhan klasik pemain kedua-dua pasukan yang pernah menjadi sebutan di kalangan peminat bola sepak tempatan suatu ketika dulu dengan tepukan gemuruh mengiringi sepak mula pasukan Selangor.

 

Sejak awal, Selangor menguasai permainan dan Zainal Abidin Hassan mendapat peluang pertama apabila meloloskan diri ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan yang sempat ditampan penjaga gol Singapura, David Lee manakala cubaan Soh Chin Aun dari luar kotak penalti tiga minit kemudian tersasar.

 

Seperti di zaman kegemilangannya, T Pathmanathan menjadi benteng terakhir yang ampuh buat pasukan Veteran Singapura yang mula menguasai permainan dan mendapat gol pertama menerusi sepakan penalti Fandi pada minit ketujuh selepas pemain yang digelar 'The Wonder Boy' itu dijatuhkan penjaga gol Rashid Hassan.

 

Biarpun Dollah Salleh dan Khalid Ali bijak menguasai bola di kawasan tengah, lorongannya sama ada kepada Zainal, Chin Aun mahupun Khan Hung Meng sukar melepasi benteng Singapura yang semakin pantas menguasai padang.

 

Kegelisahan penonton yang sebahagian besarnya penyokong Merah Kuning semakin ketara selepas itu dan biarpun dua pertukaran serentak dilakukan jurulatih Selangor, Wong Choon Wah dengan memasukkan K Rajagobal dan P Maniam, Singapura dilihat lebih banyak melancarkan serangan dan beberapa kali mencemaskan Rashid.

 

Cubaan jarak dekat Fandi diselamatkan Rashid pada minit ke-11 manakala cubaan jarak jauh Lim Tang Boon yang tepat ke penjuru kanan gawang ditepis keluar jurulatih penjaga gol pasukan Liga Perdana Selangor itu pada minit ke-22.

 

Biarpun permainan berlangsung dengan rentak perlahan sesuai dengan kudrat pemain yang sebahagian besarnya berusia lebih 45 tahun, aksi menghiburkan juga dapat disaksikan terutama ketika Santokh Singh yang kini berbadan gempal menguasai bola.

 

Selangor yang membuat tiga pertukaran di babak kedua, kembali dengan lebih berbahaya dan nyaris mendapat gol penyamaan apabila rembatan leret dari jarak jauh Rajagobal ditepis keluar David tiga minit sebaik bersambung manakala sepakan sudut susulan Chin Aun ditanduk sedikit melepasi palang oleh Zainal.

 

Namun dalam keghairahan Veteran Selangor mencari jaringan, Singapura tiba-tiba menambah gol kedua apabila hantaran jauh Tang Boon kepada Fandi disudahi dengan rembatan 'first timer' cantik untuk menewaskan Rashid buat kali kedua pada minit ke-42.

 

Suasana senyap di Stadium Shah Alam kembali bergema apabila Selangor merapatkan jurang kepada 1-2 seminit kemudian apabila Maniam menguis masuk dari jarak dekat dalam perebutan di depan pintu gol, lantas merancakkan kembali saingan.

 

Begitupun, cubaan kedua-dua pasukan untuk mencari gol tambahan terus hampa sehingga tamat saingan sejam itu sambil penonton memberi tepukan gemuruh sebagai penghargaan terhadap lagenda mereka suatu masa dulu.

 

Veteran Selangor: Rashid Hassan (Yap Kam Choon), Soh Chin Aun (Hanafiah Ali), Kamaruzaman Yusof (E Elavarasan), P Dharmalingam (P Maniam), Khalid Ali (Razali Alias), Dollah Salleh (Mohd Shah Norbit), Zainal Abidin Hassan, Santokh Singh (K Rajagobal), K Gunalan, Khan Hung Meng (Reduan Abudllah) , K Gunasegaran.

 

Veteran Singapura: David Lee, Hasli Ibrahim ( Razali Saad), Robert Sim, T Pathmanathan, Au Yeong Pak Kuan, R Suria Murthi (Yahya Madon), Malek Awab, Lim Tang Boon, Fandi Ahmad, Tay Peng Kee.