21.06.05
Aksi Liga Super sasaran utama Elie
Oleh: Berita Harian
Pemain sayap kanan gergasi Merah Kuning dari Indonesia, Elie Aiboy menyifatkan tiga mata penuh yang diraih selepas menewaskan pasukan jiran, Kuala Lumpur lebih penting daripada mencapai kejayaan dalam pertemuan kedua pusingan kedua Piala FA menentang MK Land esok.
Bagi Elie, matlamat utamanya musim ini ialah membantu skuad Merah Kuning memastikan tempat ke Liga Super musim depan, sungguhpun pasukan itu memasang hajat untuk menyapu bersih tiga gelaran musim ini iaitu Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Ini (kemenangan kelmarin) adalah penting untuk membantu kami ke Liga Super musim depan. Fokus utama kami tetap Liga Super walaupun kami akan menentang MK Land esok,” katanya selepas membantu pasukannya meraih kemenangan 3-1 kelmarin.
Sungguhpun tidak meledakkan jaringan, Elie menjadi duri bagi barisan warga kota dengan larian kencang dan hantaran lintang tepat yang sentiasa mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.
Kelicikan pemain ini gagal dikekang Kuala Lumpur dan membawa padah buat mereka apabila hantaran silangnya pada minit ke-42 terkena Khalid Jamlus lalu bergolek ke Brian Fuentes untuk dirembat kencang ke gawang bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Sebelum itu, Merah Kuning membuka jaringan menerusi tandukan Bambang Pamungkas pada minit ke-29. Gol ketiga Selangor diledakkan oleh kapten mereka, Shukor Adan, enam minit babak kedua berlangsung dengan jaringan sagu hati Kuala Lumpur hadir lapan minit kemudian menerusi Muhammad Zamri Hassan yang menyempurnakan lambungan cantik S Sunder.
Jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mengakui kemasukan Sunder yang menggantikan Patrick Maria pada awal babak kedua banyak mengubah rentak perlawanan, sesuatu yang patut dilakukannya dari awal.