Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.06.05

Dollah berang aksi keras lawan

Oleh: Harian Metro

Jurulatih skuad Merah Kuning, Dollah Salleh melenting apabila menyaksikan pemainya terpaksa menerima terjahan keras daripada pemain TNB Kelantan dalam perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang di Stadium Sultan Muhammad ke IV malam tadi.

 

Dollah yang ternyata marah dengan tindakan kasar pasukan tuan rumah itu menyifatkan pemain TNB Kelantan itu tidak profesional malah boleh membuatkan bola sepak negara ini terus ketinggalan.

 

"Mereka tidak profesional langsung dan mereka juga merosakkan perlawanan malam ini."

 

"Kalau macam ini, mereka bukan main bola sepakdan kenapa mereka perlu layan tekanan dari penyokong." katanya selepas pertemuan skuad kendaliannya dengan TNB Kelantan di Kota Bharu malam tadi.

 

Tempoh 90 minit malam tadi berlalu dalam suasana agak panas antara pemain kedua-dua pasukan.

 

Cacian dan maki hamun antara pemain dilihat sebagai tindakan susulan selepas berlaku beberapa bentesan keras sejak wisel permulaan ditiup pengadil, Ahmad Khalidi Supian dari Kedah.

 

Dollah turut menegaskan bahwa sekiranya pemain TNB mempamerkan gaya permainan seperti yang ditunjukkan itu pastinya akan menjejaskan permainan bola sepak pada masa akan datang.

 

"Mereka lebih praktikkan bentesan keras terhadap lawan bukannya mempamerkan skil bolasepak yang menarik."

 

"Tindakan mereka itu bukan hanya akan merosakkan perlawanan tetapi boleh mencetuskan kemarahan sekaligus memungkinkan pergaduhan antara pemain berlaku." katanya lagi.

 

Dalam perlawanan malam tadi D Surendran dari Selangor dan Iqbal Hanafi Masduki dari TNB masing-masing dilayangkan kad kuning.

 

Suasana panas yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV itu mengulangi semula tempo keras antara kedua pasukan ketika bertemu pada 24 April lalu.