Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
30.06.05

Ingat pesan Dollah

Oleh: Harian Metro

“Jangan leka. Ingat pesanan saya.” Itulah yang ditegaskan jurulatih Selangor, Dollah Salleh terhadap anak buahnya menjelang pertemuan menentang Kelantan dalam pusingan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mohd ke-1V, Kota Bharu, malam ini.

 

Pesanan ringkas itu amat mendalam sekali bagi pemain Gergasi Merah selepas prestasi kemuncak dalam tiga perlawanan sebelum ini ditamatkan pasukan berstatus daerah, NTFA Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan, Ahad lalu.

 

Dalam perlawanan itu, Merah Kuning bernasib baik apabila membawa pulang satu mata selepas dipaksa seri 2-2, sedangkan sebelum itu mereka menewaskan MK Land dua kali dalam pusingan kedua Piala FA untuk mencatat kemenangan dengan agregat 5-2 dan membenam cabaran Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana.

 

Dollah begitu mengagumi Kelantan yang beraksi dalam Liga FAM tahun ini apabila menewaskan pendahulu Liga Super, Perlis dalam pusingan kedua Piala FA minggu lalu dengan agregat 6-6, sebelum menang menerusi penentuan penalti.

 

“Walaupun mereka beraksi dalam Liga FAM, mereka tetap sebuah pasukan yang mesti dihormati dan bukti kehebatan mereka apabila menumpaskan Perlis minggu lalu.

 

“Mereka sudah tentu mahu bermain bermati-matian untuk layak ke Liga Perdana tahun depan, kerana itu kita mesti berhati-hati dan tidak mudah leka sepanjang perlawanan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

 

Jurulatih yang membimbing MPPJ muncul kelab pertama menjulang Piala Malaysia pada musim 2003 itu berkata, tiada sebarang strategi khas merantai penyerang Kelantan daripada merobek gawang Selangor.

 

“Saya sentiasa menghormati semua pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana dan Piala FA ini,” katanya.

 

Mengenai ketiadaan empat tonggak utama Merah Kuning iaitu kapten Shukor Adan, Elie Aiboy, D Surendran dan Ammri Yahyah dalam perlawanan itu, Dollah berkata, kekosongan yang ditinggalkan mampu ditampung pemain lain.

 

“Kita mempunyai pemain berpengalaman seperti Nazzab Hidzan dan Harris Safwan serta P Gunalan bagi menggantikan pemain ini dan saya tidak begitu risau dengan ketiadaan mereka,” katanya.