30.06.05
Kelantan 1 Selangor 1 (Suku Akhir Piala FA)
Oleh: misai117
Selangor berjaya mengikat pasukan tuan rumah, Kelantan Darul Naim dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir TM Piala FA 2005 yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Perlawanan berlangsung dalam hujan lebat dan padang agak sedikit lecak dan ini menyukarkan para pemain dari kedua-dua pasukan untuk membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan.
Kelantan yang dibimbing oleh Kamaruddin Md. Nor dilihat banyak mengasak ke arah kubu pertahanan Selangor sambil dibantu sorakan padu ribuan penyokong tuan rumah yang turun beramai-ramai buat pertama kali musim ini oleh kerana pasukan Kelantan hanya beraksi dalam Liga FAM musim ini.
Selangor tampak tempang tanpa beberapa tonggak utama terutamanya bintang import dari Indonesia, Elie Aiboy yang masih cedera dan penggantungan ketua pasukan, Shukor Adan. Turut tidak diturunkan ialah Amri Yahyah dan D.Surendran.
Pasukan tuan rumah akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-13 apabila pemain penyerang, Sairozi Daud berjaya menyudahkan hantaran lintang daripada bintang import dari Thailand, Suriya Dongtaisung.
Selangor mula mengasak selepas itu, namun masih gagal menembusi kekebalan penjaga gol veteran, Halim Napi. Bagaimanapun, pada minit ke-24, ketua pasukan Kelantan, Akmal Tabarani dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Ahmad Khalidi Supian.
Babak kedua dimulakan dengan kedua-dua pasukan tidak melakukan sebarang pertukaran.
Perlawanan terhenti seketika pada minit ke-52 apabila berlaku kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong tuan rumah. Namun keadaan kembali tenang tiga minit kemudian.
Kelantan melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Zool Ihsan Yunus dan Shahmuddin Mohamed bagi menggantikan Akmal Tabarani dan Badhri Mohd Razi.
Pada minit ke-80, Brian Fuentes hampir menyamakan kedudukan apabila berjaya melepasi kawalan penjaga gol Kelantan, Halim Napi tetapi Nik Ahmad Fadli berjaya menanduk keluar percubaan Brian Fuentes ketika pintu gol sudah ternganga luas.
Selangor cuba menguatkan barisan pertahanan dengan memasukkan Razman Roslan bagi menggantikan Haris Safwan dan usaha itu berhasil apabila Selangor dilihat semakin menguasai babak akhir permainan dan berjaya menyerap asakan serangan pasukan tuan rumah terutamanya dari Suriya Dongtaisung.
Selangor terus mengasak dan pada minit ke-87, Khalid Jamlus berjaya melepasi perangkap offside, namun rembatan beliau tepat ke dakapan Halim Napi.
Namun Khalid menebus kekecewaan terdahulu apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 hasil keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Kelantan.
Selepas jaringan tersebut, Selangor terus memasukkan Fairuz Montana bagi
menggantikan Nazzab Hidzan. Namun kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan dan keputusan tersebut menjadi bekalan cukup baik untuk Selangor mengganas di gelanggang sendiri 13 Julai depan.
SELANGOR:
1-JAMSARI SABIAN, 2-THARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 6-SAIFULNIZAM HUSSAIN, 15-P.GUNALAN, 9-HARIS SAFWAN (3-RAZMAN ROSLAN), 12-K.SANBAGAMARAN, 7-NAZZAB HIDZAN (11-FAIRUZ MONTANA), 10-BRIAN FUENTES, 20-BAMBANG PAMUNGKAS, 23-KHALID JAMLUS.