Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.06.05

Merah Kuning perlu awasi benteng

Oleh: Harian Metro

Gergasi Merah Kuning bakal merana jika benteng pertahanan mereka mempamerkan aksi rapuh seperti yang ditunjukkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini menjelang pertemuan pusingan kedua Piala FA menentang musuh setempat MK Land di Stadium Selayang, malam ini.

 

Bahagian paling kritikal dalam skuad Merah Kuning itu tentu menderita jika penyerang berbahaya MK Land, Marlon Alex James, mengulangi sentuhan ajaibnya seperti yang dipamerkan ketika menentang Brunei, Ahad lalu, apabila membolosi gawang lawan sebanyak enam kali.

 

Kapten Merah Kuning, Shukor Adan, menyedari hakikat bahawa MK Land adalah pasukan yang mesti dihormati kerana mempunyai kombinasi bahagian tengah dan serangan begitu mantap.

 

“Memang saya akui Marlon adalah penyerang paling berbisa sekali dan buktinya enam gol dijaringkan ketika menentang Brunei tempoh hari.

 

“Penyerang ini ada keistimewaannya berbanding penyerang lain dan kerana itu saya amat mengharapkan supaya bahagian pertahanan tidak leka walau satu detik dalam pertemuan malam esok (ini),” katanya semasa ditemui di padang latihan di Kelana Jaya, semalam.

 

Shukor berkata, skuad Merah Kuning itu beruntung selepas mendapatkan khidmat Marlon bagi perlawanan Piala Sultan Selangor menentang Pilihan Singapura bulan lalu.

 

“Kita sudah melihat aksinya dari dekat apabila bermain dengan Selangor dalam perlawanan itu dan ini membantu barisan pertahanan mengkaji cara untuk menyekatnya dengan lebih bijak,” katanya.

 

Rekod pertemuan 1-1 antara Selangor dan MK Land sebelum ini turut membuktikan bahawa pertemuan kedua pasukan itu sukar diramal terutama kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang di semua bahagian.

 

“Saya begitu kagum dengan bahagian tengah MK Land yang diterajui Mohd Noor Derus dan Miloslav Toth.

 

“Mereka berdua banyak memberi umpanan cantik kepada Marlon dan saya berharap kami dapat menyekat mereka melakukan hantaran seperti itu,” katanya.

 

Sokongan ribuan penonton setia Gergasi Merah sekali lagi ditagih Shukor dan rakannya untuk membakar semangat bagi memastikan kemenangan yang dicari dalam pertemuan itu dapat dibawa pulang.

 

“Faktor sokongan penyokong setia Selangor menjadi aspek terpenting dalam persembahan kami kerana semua pemain berasa lebih bersemangat dan berazam mempamerkan permainan lebih kemas dan menarik untuk mencipta kemenangan.

 

“Kemenangan di Stadium Selayang sebelum ini juga banyak dibantu sokongan mereka dan kerana itu saya mengharapkan mereka membanjiri stadium ini sekali lagi malam esok (ini),” katanya.

 

Shukor berkata, sebagai sebuah pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman luas di peringkat antarabangsa, Selangor akan turun dalam perlawanan malam esok (ini) tanpa tekanan.

 

“Kita sudah biasa dengan tekanan tinggi kerana penyokong setia sentiasa mengharapkan Selangor mencipta kemenangan dalam semua perlawanan.

 

“Berikutan itu, azam kami amat tinggi untuk menghadiahkan mereka dengan kemenangan dalam perlawanan ini nanti,” katanya.