Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.06.05

MK Land 1 Selangor 3 (Piala FA P2 L1)

Oleh: misai117

Selepas berjaya menyingkirkan Pahang dalam Pusingan Pertama, Selangor kali ini terpaksa berhadapan pula dengan MK Land dalam aksi pertama untuk

Pusingan Kedua, TM Piala FA 2005 di Stadium MPS, Selayang malam tadi.

 

Aksi kedua-dua pasukan dari TM Liga Perdana Kumpulan A ini turut disiarkan

secara langsung di NTV7.

 

Selangor merehatkan Buddy Farah bagi memberi peluang kepada Brian Fuentes yang disisihkan dalam beberapa aksi terdahulu sambil Jamsari Sabian mengambil alih tugas menjaga gawang gol daripada Shahrizan Ismail. Dollah Salleh mengekalkan pemain-pemain lain.

 

Perlawanan berlangsung agak hambar pada awal babak pertama dengan kedua-dua pasukan tidak banyak melakukan percubaan bahaya ke arah pintu gol sehinggalah pada minit ke-38 apabila MK Land dihadiahkan sepakan penalti yang agak kontroversi.

 

Kontroversi berlaku apabila Miroslav Toth dilihat menarik D.Surendran di

dalam kotak penalti Selangor dan kedua-dua pemain tersebut terjatuh tetapi

pengadil perlawanan tanpa disangka-sangka memberikan sepakan penalti kepada pasukan MK Land.

 

Walaupun mendapat bantahan, namun sepakan penalti berjaya disempurnakan oleh pemain MK Land, Mohd Fairuz Mohd Nor untuk gol pertama perlawanan pada minit ke-38.

 

Selangor yang tersentak dengan jaringan tersebut mula memperkemaskan aksi dan pada minit ke-43, Selangor dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti MK Land. K.Sanbagamaran menguis sedikit bola ke belakang untuk Bambang Pamungkas meledakkan satu rembatan yang begitu kencang sama sekali gagal digapai oleh penjaga gol MK Land, S.Shankar untuk mengikat kedudukan 1-1 menuju tamat babak pertama.

 

Babak kedua disambung, Selangor sedikit demi sedikit mula menguasai

permainan. Sekali lagi Selangor dihadiahkan sepakan percuma, namun kali ini sepakan yang diambil oleh Bambang Pamungkas gagal melepasi benteng, tetapi susulan dari sepakan kedua oleh beliau, bola menuju tepat ke kaki

D.Surendran yang berada dalam kotak penalti MK Land. Tanpa berlengah,

D.Surendran terus merembat masuk untuk gol kedua Selangor pada minit ke-52.

 

MK Land semakin terdesak untuk menyamakan kedudukan dengan kembali melakukan asakan demi asakan tetapi masih gagal menewaskan Jamsari Sabian yang mempamerkan aksi yang menakjubkan dengan berjaya menidakkan beberapa peluang keemasan pasukan lawan. Pada minit ke-66, MK Land tambah tertekan apabila Marlon Alex James mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan.

 

Ketiadaan ketua pasukan MK Land itu membuka ruang untuk Selangor kembali menguasai perlawanan dan pemain gantian, Amri Yahyah berjaya menambah derita apabila menanduk masuk hantaran lintang dari sebelah kiri oleh seorang lagi pemain gantian, Nazzab Hidzan pada minit ke-88.

 

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan untuk Selangor membawa bekal yang cukup selesa menjelang perlawanan kedua di Stadium Petaling Jaya minggu depan.

 

Jamsari Sabian, Ahmad Tharmini Saiban, Saifu Nizam Husin, Nazrul Erwan Makmor, D Surendran, K Sanbagamaran, Shukor Adan (Nazzab Hidzan), Elie Aiboy, Brian Fuentes, Khalid Jamlus (Amri Yahyah), Bambang Pamungkas