Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.06.05

NTFA 2 Selangor 2 (Liga Perdana)

Oleh: misai117

Selangor hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 dalam perlawanan menentang NTFA Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan malam tadi. Namun, keputusan tersebut tidak mengubah kedudukan Selangor di persada TM Liga Perdana bagi Kumpulan A.

 

Seawal babak awal perlawanan, pasukan tuan rumah sudah melakukan asakan ke kubu pasukan Selangor. Pada minit ke-8, penjaring utama NTFA, Rosli Azizan nyaris meletakkan NTFA di hadapan, namun sepakan beliau terkena palang gol Selangor meskipun Jamsari Sabian sudah tertewas.

 

Pada minit ke-20, Selangor terpaksa mengeluarkan pertahanan kiri, D.Surendran yang tercedera dan beliau digantikan oleh P.Gunalan.

 

Ketiadaan Elie Aiboy yang tidak diturunkan akibat kecederaan amat dirasai di separuh masa pertama ini apabila NTFA dilihat lebih banyak melakukan asakan. Posisi Elie Aiboy di sebelah sayap kanan diisi oleh Amri Yahyah.

 

NTFA akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila memperolehi gol pertama perlawanan pada minit ke-33 menerusi rembatan deras kaki kanan oleh Rosli Azizan. Jaringan tersebut merupakan gol ke-8 Rosli Azizan dalam saingan TM Liga Perdana musim ini.

 

Babak kedua dimulakan dengan Selangor ketinggalan 0-1 kepada NTFA dan Jurulatih Selangor tidak melakukan sebarang pertukaran pemain.

 

Pada minit ke-54, Selangor akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik oleh Bambang Pamungkas hasil sepakan percuma oleh Tharmini Saiban dari sebelah kanan. Gol tersebut merupakan gol ke-21 Bambang Pamungkas dalam saingan TM Liga Perdana musim ini.

 

Sementara itu, ketua pasukan Selangor, Shukor Adan dilayangkan kad kuning dua minit selepas jaringan tersebut.

 

Khalid Jamlus berjaya menambah jaringan apabila berjaya menguis masuk hantaran lintang oleh Amri Yahyah pada minit ke-67 untuk gol kedua Selangor.

 

Selangor melakukan pertukaran kedua pada minit ke-72 dengan memasukkan Haris Safwan bagi menggantikan Amri Yahyah.

 

NTFA tidak putus asa walaupun ketinggalan satu gol. Hasilnya, pasukan tuan rumah berjaya juga menyamakan kedudukan pada minit ke-82 menerusi pemain import, Ibironke Tobi untuk kedudukan 2-2.

 

Malang terus menimpa pasukan Selangor apabila ketua pasukan, Shukor Adan menerima kad kuning kedua dan terus dilayangkan kad merah pada minit ke-84. Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain sementara Shukor Adan secara automatik tidak dapat beraksi dalam perlawanan menentang Kedah Ahad depan.

 

Kedudukan 2-2 terus kekal hingga ke hujung saingan dengan Selangor berjaya mengumpul 44 mata selepas 18 perlawanan sementara pencabar utama, Kedah mengumpul 40 mata selepas hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur dalam perlawanan hari ini. Kesemua pasukan dalam TM Liga Perdana mempunyai baki 3 perlawanan sebelum tamat saingan liga musim ini.

 

SELANGOR:

 

1-JAMSARI SABIAN, 2-THARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 6-SAIFULNIZAM HUSSAIN, 19-D.SURENDRAN (15-P.GUNALAN), 17-AMRI YAHYAH (9-HARIS SAFWAN), 12-K.SANBAGAMARAN, 25-SHUKOR ADAN, 10-BRIAN FUENTES, 20-BAMBANG PAMUNGKAS, 23-KHALID JAMLUS.