24.06.05
Piala FA: Kelantan temu Selangor
Oleh: Berita Harian
Selepas menyingkirkan Perlis, giant killer Kelantan diundi pula untuk berdepan pasukan handalan Selangor di suku akhir bola sepak Piala FA pada 29 Jun dan 13 Julai ini.
Kebangkitan hebat Kelantan dari defisit 1-4 untuk mengikat agregat 6-6 sebelum menyingkirkan Perlis 4-2 menerusi penentuan penalti di pusingan kedua kelmarin, pasti diuji sekali lagi oleh skuad elit Merah Kuning.
Walaupun hanya bermain dalam Liga FAM, Kelantan membuktikan mereka bukan pasukan yang mudah diratah terutamanya apabila beraksi di halaman sendiri dan hasrat untuk muncul juara Piala FA buat pertama kalinya dalam tempoh 15 tahun pastinya menjadi azimat terbaik buat skuad berkenaan.
Selain pertemuan Kelantan-Selangor, undian semalam turut menyaksikan juara bertahan, Perak menentang Sabah, Public Bank bertemu PKNS dan Terengganu berdepan Kuala Lumpur untuk mencari tempat ke separuh akhir.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Hamidin Mohd Amin yang ditemui selepas undian semalam mengakui laluan pasukannya sedikit sukar khususnya bermain di gelanggang lawan yang memiliki penyokong fanatik.
“Semangat pemain Kelantan sudah tentunya masih membara terutama selepas pasukan mereka mengenepikan pendahulu Liga Super, Perlis,” katanya.
Walaupun memiliki barisan penyerang yang dianggap antara yang paling sempurna dalam kempen Liga Perdana musim ini, Selangor masih bersikap merendah diri dan menganggap mereka cukup bertuah andai dapat mengikat Kelantan pada pusingan pertama nanti.
“Jika kami seri di tempat lawan, pertemuan kedua mungkin menjadi milik kami kerana akan beraksi di gelanggang sendiri selepas itu,” katanya.