23.06.05
Selangor 2 MK Land 1 (Piala FA P2 L2)
Oleh: misai117

Khalid diasak oleh A Ganeson dari MK Land (NSTP)
Selangor melangkah ke peringkat suku akhir TM Piala FA 2005 apabila
menyingkirkan pasukan MK Land dengan aggreget 5-2 setelah menang 2-1 dalam perlawanan kedua, Pusingan Kedua di Stadium Petaling Jaya, malam tadi.
Perlawanan ini turut disiarkan secara langsung menerusi program S-Box di
NTV7.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh terus mengekalkan kesebelasan yang sama
seperti dalam dua perlawanan yang lepas bagi memastikan rentak kemenangan dapat diteruskan dalam pertemuan menentang MK Land ini.
Ketika permainan baru berusia tujuh minit, Selangor sudah berada di hadapan apabila Brian Fuentes berjaya menggegarkan jaring gol MK Land. Bermula daripada lorongan cantik dari Elie Aiboy, Brian Fuentes dengan pantas mengejar bola tersebut dan melakukan lambungan yang sama sekali memerangkap penjaga gol MK Land, S.Shankar yang sudah agak terkeluar dari posisi beliau untuk gol pertama Selangor sekaligus menjarakkan agreget kepada 4-1.
MK Land turun dengan seorang lagi pemain import baru dari Slovakia, Mario
Mijatovic untuk bergandingan dengan Marlon Alex James di barisan serangan,
namun serangan mereka berjaya dipatahkan oleh kekebalan benteng terakhir tuan rumah yang dikawal oleh Jamsari Sabian.
Di penghujung saingan, Marlon Alex James dilihat mengkasari Elie Aiboy dan
menyebabkan Elie Aiboy mengalami sedikit kecederaan, sementara Marlon Alex James yang kurang cergas dan agak tertekan kerana gagal menembusi benteng pertahanan Selangor dilihat meninggalkan padang dan mencampakkan lilitan lengan ketua pasukan. Akibat insiden itu, MK Land terus melakukan pertukaran dengan memasukkan S.Padiya Rau bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Marlon.
Babak kedua dimulakan, Selangor terpaksa mengeluarkan Elie Aiboy dan
memasukkan pemain muda, Amri Yahyah.
Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh MK Land selepas ketiadaan Marlon dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh barisan pemain Selangor untuk menguasai permainan.
Pada minit ke-74, pertahanan MK Land, Zaidi Mat Ail melakukan kesilapan
apabila kehilangan bola kepada Khalid Jamlus di luar kotak penalti MK Land.
Khalid merampas bola tersebut dan berjaya melepasi penjaga gol MK Land, lalu dengan pantas menolak masuk ke dalam gawang gol yang terbuka luas untuk gol kedua Selangor.
Tetapi, malang buat Khalid Jamlus kerana tidak dapat meraikan jaringan
tersebut apabila beliau terus diterjah dengan kasar oleh A.Ganeson dan
Khalid terpaksa diusung keluar dan terpaksa digantikan.
Pada minit ke-82, MK Land akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi Mario Mijatovic, namun jaringan itu sudah terlewat untuk menghalang Selangor melangkah ke suku akhir dengan agreget 5-2.