27.06.05
Selangor azam pertahan maruah
Oleh: Harian Metro
Demi memartabatkan maruah Gergasi Merah untuk beraksi dalam Liga Super musim depan, tiga mata mesti dikutip dalam pertemuan menentang NTFA Pulau Pinang, di Stadium Negeri Batu Kawan, malam ini.
Peluang Selangor untuk beraksi dalam liga elit itu semakin cerah apabila mendahului Kumpulan A Liga Perdana dengan 43 mata, empat mata di depan Kedah, dengan hanya berbaki empat perlawanan.
Rentak kemenangan ke atas NTFA Pulau Pinang perlu diteruskan Merah Kuning selepas membenam cabaran pasukan berstatus kelab itu dalam dua pertemuan sebelum ini.
Dalam perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, Selangor menang 4-1 dan memenangi saingan kedua di Stadium Batu Kawan 5-1.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, berkata cabaran pasukan kelab dari Pulau Pinang itu tidak boleh dipandang rendah kerana mereka berkeupayaan memberi saingan hebat dalam pertemuan itu nanti.
“Kita mesti berhati-hati apabila bertemu pasukan ini kerana mereka adalah satu pasukan yang bagus walaupun kita menang dalam dua pertemuan sebelum ini.
“Dalam sebelum ini, mereka mampu memberi tentangan sengit tetapi masalah mereka ialah gagal menyempurnakan peluang yang diperolehi,” katanya semalam.
Sengat di bahagian serangan Merah Kuning agak terjejas berikutan kecederaan hamstring pemain sayap lincah dari Indonesia, Elie Aiboy, dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA dengan MK Land, Rabu lalu.
Bagaimanapun, Dollah tidak menjadikan itu satu alasan bagi pasukan bimbingannya menambah kutipan tiga mata dalam perlawanan itu.
“Memang kita agak kecewa apabila khidmat Elie tidak dapat digunakan dalam perlawanan ini tetapi kita mempunyai pemain yang mampu mengambil alih peranannya.
“Mungkin saya akan menurunkan Amri Yahyah di bahagian sayap kanan dan dia menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.
Dollah berkata, dia hanya memberi tumpuan pada satu-satu perlawanan dengan setiap perlawanan itu amat penting bagi memastikan misi Selangor ke Liga Super berhasil.
“Kami tidak mahu pemain tertekan dan kerana itu fokus hanya pada perlawanan yang dihadapi dalam satu-satu masa.
“Ini lebih membantu mereka untuk mengatur strategi dan tenang dalam setiap saingan.
“Hanya satu pesan saya bagi mereka iaitu buang sikap leka terutama pada minit-minit terakhir permainan,” katanya.