18.06.05
Selangor cuba import baru
Oleh: Berita Harian
Persembahan barisan pertahanan yang masih kurang mantap dan sering dibolosi gol, mengundang pengurusan Selangor mencuba dua pemain import baru untuk menilai keserasian mereka bersama skuad Merah Kuning.
Pemain terbabit – Martin Cloaildo dan Alan Stannesic – masing-masing dari Brazil dan Croatia diuji sejak seminggu lalu, tetapi setakat ini hanya Stannesic mampu menambat hati Merah Kuning untuk meneruskan ujian.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin berkata, barisan pertahanan masih menjadi perhatian utama untuk dimantapkan bagi mencapai misi menjulang kejuaraan yang disasarkan musim ini.
Katanya, sekali pun Merah Kuning sudah memiliki pemain import dari Australia, Badawi Farrah di pertahanan, Merah Kuning masih berusaha mendapatkan pemain terbaik bagi posisi itu yang dilihat antara keperluan utama untuk memastikan kejayaan.
“Walaupun kami sedang menguji pemain pertahanan baru, tidak bermakna Buddy (Badawi Farrah) akan disingkirkan.
“Kami hanya berusaha untuk mencari pemain terbaik bagi memantapkan posisi itu yang selama ini sering dilihat kurang mantap.
“Selepas seminggu diuji, kami dapati Martin tidak sesuai dan kami hanya meneruskan ujian dengan Alan yang pernah beraksi dalam Liga-J di Jepun.
“Mungkin, dalam tempoh seminggu lagi, baru kami akan membuat keputusan mengenai pemain terbabit termasuk menentukan kedudukan Buddy jika bercadang mengambil pemain import baru,” katanya.
Selangor kini mendahului Kumpulan A saingan Liga Perdana dalam usaha memburu kelayakan ke Liga Super musim depan, turut mensasarkan untuk menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA musim ini.
Selain Buddy, pasukan itu turut memiliki tiga lagi pemain import termasuk dua dari Indonesia iaitu Bambang Pamungkas (penyerang) dan Elie Aiboy (tengah) serta penjaring terbanyak mereka musim lalu, Brian Fuentes dari Argentina.