29.06.05
Selangor patah sayap
Oleh: Harian Metro
Tanpa dua penjana utama, kapten, Shukor Adan dan pemain sayap kanan lincah, Elie Aiboy, kunjungan Selangor ke Kota Bharu ibarat pasukan patah sayapnya berdepan Kelantan bagi perlawanan pusingan pertama suku akhir Piala FA, malam esok.
Shukor yang diperintah keluar padang selepas menerima dua kad kuning tidak dapat diturunkan akibat penggantungan satu perlawanan, sementara kecederaan hamstring yang dialami Elie dalam perlawanan menentang MK Land, Rabu lalu, belum pulih sepenuhnya.
Kerapuhan Gergasi Merah terbukti dalam perlawanan Liga Perdana menentang NTFA Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan, malam kelmarin apabila hanya mampu seri 2-2.
Tetapi kedudukan di tangga teratas Kumpulan A terselamat apabila pencabar terdekat, Kedah dihampakan Kuala Lumpur selepas dipaksa seri 0-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Derita barisan Merah Kuning bertambah parah apabila pemain pertahanan kiri, D Surendran diusung keluar dalam perlawanan itu akibat kecederaan selepas hanya beraksi 20 minit.
Tetapi nada Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, tetap tenang menghadapi kekalutan itu.
“Sebagai pengurus pasukan, saya tidak hampa apabila hanya satu mata dikutip Ahad lalu. Pemain sudah memberikan yang terbaik, di sebalik kegagalan pemain utama beraksi akibat kecederaan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Satim melaungkan amaran bahawa Gergasi Merah akan bangkit semula mempamerkan aksi lebih meyakinkan menentang Kelantan di gelanggang lawan, pasukan yang membuatkan pendahulu Liga Super, Perlis, berputih mata apabila bangkit dari kekalahan 4-1 di pusingan pertama peringkat kedua untuk seri 6-6, seterusnya menang menerusi sepakan penalti.
“Keputusan seri ini tidak melemahkan semangat pemain Selangor yang berjanji untuk bekerja keras dalam perlawanan Rabu nanti. Mereka sedar Kelantan bukan satu pasukan yang mudah diatasi walaupun hanya beraksi dalam Liga FAM.
“Tetapi, sebagai sebuah pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman dan mendahului tangga teratas Kumpulan A, saya tetap yakin kami akan mencatat kejayaan di Kota Bharu nanti,” katanya.
Satim berkata, tanggungjawab kapten pasukan pastinya ditanggung K Sanbagamaran, antara pemain paling senior Merah Kuning.
“Dia akan bergandingan dengan Nazzab Hidzan, juga seorang pemain berpengalaman, tetapi apa yang kita harapkan barisan pertahanan mengulangi persembahan terbaik seperti ketika berdepan MK Land, minggu lalu.
“Jika semua strategi dapat dijelmakan pemain, kita akan membawa bekalan selesa dalam pusingan kedua nanti,” katanya.