Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
15.06.05

Selangor rantai Marlon

Oleh: Harian Metro

Penyerang prolifik MK Land, Marlon Alex James, pastinya bakal dirantai pertahanan Selangor dalam pertemuan pusingan kedua Piala FA di Stadium Selayang, esok.

 

Enam gol yang dihasilkan penyerang tinggi lampai itu ketika menentang Brunei malam kelmarin menjadi igauan ngeri kepada benteng Gergasi Merah.

 

Bagaimanapun, jurulatih Selangor, Dollah Salleh, menegaskan pasukannya mempunyai strategi tersendiri bagi merantai pergerakan penyerang MK Land itu.

 

“Setiap kali pertemuan menentang MK Land, perlawanan pastinya berlangsung dengan sengit terutama selepas kedua-dua pasukan masing-masing menang sekali dalam dua pertemuan Liga Perdana sebelum ini.

 

“Jika kita mempunyai Bambang Pamungkas, MK Land mempunyai Marlon yang ternyata sejak kebelakangan ini semakin berbisa di depan gawang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

 

Dalam pertemuan pertama Liga Perdana di Stadium Shah Alam 20 Mac lalu, Selangor tumbang 2-3 kepada MK Land dengan Marlon menjaringkan dua gol dan Ooi Hoe Guan mencipta satu gol lagi, sementara dua gol Selangor diperolehi menerusi Brian Fuentes.

 

Dalam pertemuan pusingan kedua Liga Perdana di Stadium Selayang pada 15 Mei lalu, Bambang Pamungkas menjaringkan dua gol bagi membantu Selangor membalas dendam ke atas MK Land hasil kemenangan 3-2, dengan Marlon turut mencipta satu gol.

 

Dollah berkata, rekod pertemuan 1-1 yang dihasilkan sebelum ini perlu dirombak kesebelasan Merah Kuning dengan kemenangan bagi menggapai Piala FA musim ini.

 

“Pertemuan malam esok memang amat penting bagi Selangor dan menjadi medan terbaik melebarkan rekod kemenangan menentang MK Land kerana ia turut memberi kesan ke atas perlawanan pusingan ketiga Liga Perdana nanti.

 

“Kemenangan akan memberi suntikan psikologi kepada pemain kami terhadap kemampuan mereka kerana cabaran MK Land sememangnya begitu getir sekali,” katanya.

 

Tanpa sebarang kecederaan serius yang melanda kesebelasan utama Merah Kuning, Dollah yakin pertemuan itu pastinya menjadi milik Selangor.

 

“Saya amat gembira apabila mampu menurunkan kesebelasan terbaik dalam pertemuan malam esok apabila semua pemain bebas dari sebarang kecederaan serius.

 

“Bambang yang tercedera semasa pertemuan menentang TNB Kelantan kelmarin, dijangka pulih sepenuhnya dan mampu diturunkan untuk bergandingan dengan Elie Aiboy di bahagian serangan,” katanya.