Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.06.05

Shahzan Muda 3 Selangor 2 (Persahabatan)

Oleh: misai117

Selangor bertandang ke Temerloh, Pahang pada petang Selasa untuk menentang pasukan Liga FAM, Shahzan Muda dalam satu lagi siri perlawanan persahabatan.

 

Tepat 4.45 petang, perlawanan dimulakan dengan hampir 2000 penonton dilihat memenuhi Stadium Temerloh dalam keadaaan cuaca yang agak panas. Sebelum perlawanan bermula, penonton dihiburkan dengan persembahan oleh Jamal Abdillah.

 

Selangor memulakan aksi dengan Shahrizan Ismail kekal di pintu gol, Tharmini Saiban, D.Surendran, Buddy Farah dan Martin Cloaildo di bahagian pertahanan, Elie Aiboy, Amri Yahyah, K.Sanbagamaran (Ketua Pasukan) dan Nazzab Hidzan di bahagian tengah sementara Bambang Pamungkas bergandingan dengan Brian Fuentes di bahagian serangan.

 

Selangor menguasai sepenuhnya aksi babak pertama tetapi gagal melepasi

kekebalan pertahanan import Shahzan Muda, Clifford Clark. Selain itu,

Bambang Pamungkas dan Amri Yahyah juga turut banyak mensia-siakan peluang keemasan di hadapan pintu gol.

 

Pada minit ke-30, kelonggaran pertahanan tengah antara Martin Cloaildo dan

Buddy Farah membawa padah apabila Daniel Lencinas berjaya meledakkan satu rembatan deras menewaskan Shahrizan Ismail untuk Shahzan Muda mendahului Selangor 1-0.

 

Selangor mula tersentak dan cuba untuk menyamakan kedudukan, namun hasil daripada kesilapan yang serupa, Selangor terus dihukum apabila seorang lagi bintang import Shahzan Muda, Abdul Afeez Abdul Salam berjaya melepasi perangkap offside untuk jaringan kedua Shahzan Muda pada minit ke-44 untuk bekalan selesa 2-0 sebelum menuju ke bilik persalinan.

 

Dollah Salleh melakukan beberapa pertukaran untuk memulakan aksi babak kedua dengan Shahrizan Ismail, Buddy Farah, Martin Cloaildo, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes dikeluarkan bagi memasukkan Jamsari Sabian, Nazrul Erwan, Saifulnizam Hussain, Haris Safwan dan Khalid Jamlus.

 

Hanya 3 minit diperlukan untuk Selangor merapatkan jurang apabila keadaan

kelam kabut berlaku di hadapan pintu gol Shahzan Muda dan Nazzab Hidzan

melakukan rembatan namun tersasar ke sebelah kiri tetapi Elie Aiboy yang

berada di situ terus meledakkan satu rembatan deras untuk jaringan pertama

beliau sejak menyertai Selangor awal musim ini pada minit ke-48.

 

Pada minit ke-50, hantaran lintang dari sebelah kiri oleh Amri Yahyah

berjaya ditanduk cantik oleh Khalid Jamlus untuk kedudukan 2-2.

 

Selepas jaringan tersebut, Selangor melakukan banyak pertukaran dan pemain yang kekal di atas padang sehingga tamat perlawanan ialah Jamsari Sabian, Aiman Firdaus, Nazrul Erwan (Ketua Pasukan), Saifulnizam Hussain, Fadhil Hashim, S.Sivaram, Fairuz Montana, Norhisham Kamarudin, P.Gunalan, Haris Safwan dan Khalid Jamlus.

 

Shahzan Muda akhirnya berjaya memperolehi gol kemenangan pada minit ke-70 apabila pemain import mereka, Abdul Afeez Abdul Salam sekali lagi berjaya meledakkan jaringan untuk mengesahkan keputusan muktamad, Shahzan Muda menewaskan Selangor 3-2.