Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.06.05

Usah leka nanti duka

Oleh: Harian Metro

Pemain Merah Kuning diingatkan supaya tidak mensia-siakan peluang keemasan melangkah lebih jauh dalam Piala FA selepas kelebihan dua jaringan ke atas MK Land dalam pertemuan pertama di Stadium Selayang, minggu lalu.

 

Pertemuan perlawanan kedua bagi pusingan kedua di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam ini menjadi medan paling penting pemain Merah Kuning meneruskan rentak kecemerlangan mereka dalam musim ini.

 

Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata agregat 3-1 yang menyebelahi Selangor untuk bekalan dalam perlawanan malam ini menunjukkan betapa mereka mampu memberikan persembahan terbaik untuk mengatasi mana-mana pasukan.

 

“Kemenangan ini bukan mudah dicapai, apatah lagi dalam perlawanan menentang MK Land iaitu satu pasukan yang amat dihormati musim ini.

 

“Selepas mereka bermandi peluh dan bersusah payah menembusi kubu lawan minggu lalu, mereka tidak sepatutnya tunduk kerana peluang ini bukan datang dengan mudah,” katanya.

 

Dalam perlawanan minggu lalu, Gergasi Merah memperolehi jaringan menerusi penyerang import mereka dari Indonesia, Bambang Pamungkas, pemain pertahanan, D Surendran dan pemain gantian, Mohd Amri Yahyah.

 

Satim juga mengingatkan pemainnya supaya tidak tertekan dengan harapan menggunung penyokong setia Selangor yang dijangka memenuhi Stadium Petaling Jaya malam ini.

 

“Kita sedia maklum bahawa penyokong setia menaruh harapan besar untuk menyaksikan pasukan ini kembali menyerlah dalam Liga Malaysia, tetapi pasukan ini mempunyai pemain berpengalaman dan saya percaya mereka tidak akan tenggelam dengan tekanan tinggi ini,” katanya.

 

Katanya, ketenangan yang menjadi salah satu faktor kebangkitan Selangor musim ini juga perlu diteruskan dalam perlawanan menentang MK Land malam ini kerana sedikit kecuaian bakal membawa padah .

 

“Pemain tidak boleh lalai walau satu saat menentang barisan pemain berbahaya seperti MK Land kerana mereka boleh menjadikan sedikit peluang yang diperolehi untuk menghancurkan impian kita.

 

“Persembahan tersusun dan bersemangat seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan minggu lalu serta ketika berdepan Kuala Lumpur, Ahad lalu, mesti diteruskan bagi memastikan kemenangan diperolehi malam ini,” katanya.