24.07.05
Berjuang demi maruah
Oleh: Harian Metro
“Berjuanglah demi maruah Selangor. Berjuanglah bagi menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan ini.”
Pesanan ringkas Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, ditujukan buat pemain Gergasi Merah yang akan membawa cabaran dalam perlawanan merebut Piala Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, malam ini.
Satim berkata, inilah masa terbaik memartabatkan kembali maruah Selangor sebagai pasukan yang paling digeruni dengan 29 kali mengecap nikmat menjulang Piala Malaysia.
“Inilah detik sebenar pemain menjulang semula pasukan ini kerana inilah barisan terbaik selepas kita gagal melakukannya dalam dua musim sebelum ini.
“Kita lengkap sebagai satu pasukan yang mantap dengan semua bahagian begitu cemerlang mengharungi saingan Liga Perdana sebelum ini.
“Tiada sebab untuk kita tewas dan tiada sebab untuk Selangor gagal menjulang piala malam esok (ini),” katanya.
Satim berkata, tiada sebarang ganjaran yang dijanjikan kepada pemain jika mereka memenangi perlawanan malam esok kerana itu bukan matlamat utama pemain Selangor beraksi dengan pasukan berkenaan.
“Pemain memahami tanggungjawab mereka iaitu mengembalikan semula imej pasukan ini yang terjejas teruk dan salah satu matlamat itu sudah tercapai apabila kita layak ke Liga Super musim depan.
“Kita tidak mahu ganjaran menjadi matlamat utama mereka dalam perjuangan ini, sebaliknya kita mahu mereka membuktikan terlebih dulu kemampuan sebenar dengan menguasai semua pertandingan Liga Malaysia kali ini,” katanya.
Tanpa sebarang ganjaran, katanya, tidak akan mematahkan semangat pemain Selangor untuk mempamerkan prestasi terbaik bagi menewaskan Negeri Sembilan di tempat mereka sendiri.
“Apa yang kita pentingkan ialah memastikan kebajikan pemain dan memastikan mereka sentiasa dihargai serta dihormati.
“Sikap inilah yang disenangi pemain dan kerana itu lebih mudah buat kita meminta mereka memulangkan semula apa yang diberikan kepada mereka itu dengan aksi terbaik di atas padang,” katanya.
Katanya, momentum kebangkitan Gergasi Merah sepanjang musim ini perlu diteruskan bagi memastikan api perjuangan dalam Piala Malaysia dan Piala FA selepas ini semakin membara.
“Mendakap Piala Liga Perdana ini akan menguatkan keyakinan pemain dalam saingan selepas ini kerana pastinya ujian lebih getir menanti mereka.
“Saya berkeyakinan penuh terhadap kemampuan mereka untuk memenangi perlawanan ini dengan sokongan padu penyokong setia,” katanya.