02.07.05
Dari Padang Latihan Kelana Jaya
Oleh: misai117
Pasukan Selangor turun menjalani latihan terakhir petang tadi sebelum bertolak ke Alor Setar pagi esok bagi menghadapi pertemuan getir menentang pencabar utama dalam Kumpulan A, TM Liga Perdana 2005, pasukan Kedah Darul Aman, Ahad ini.
Turun dengan memakai jersi berwarna biru dan kuning, para pemain Selangor dilihat begitu bersemangat dan riak pada wajah mereka tidak menunjukkan sebarang tekanan bagi menghadapi lautan penyokong setia skuad jelapang padi di Stadium Darulaman pada hari perlawanan sebenar.
Daripada jumlah 25 orang pemain, hanya penjaga gol, Mohd Fahmi Isa dan pemain pertahanan, Buddy Farah yang tidak kelihatan (Buddy difahamkan sudah ditamatkan kontrak). Azlisham Ibrahim turut kelihatan di padang latihan tetapi tidak menjalani latihan sementara tonggak pertahanan, Nazrul Erwan dilihat kurang cergas dan hanya menjalani latihan ringan.
Seisi latihan petang tadi juga disertai oleh seorang pemain import dari Brazil yang buat pertama kali turun berlatih bersama skuad Merah Kuning. Pemain yang agak tinggi lampai itu beraksi di posisi pertahanan tengah. Namun masalah bahasa mungkin menyukarkan beliau untuk memikat hati Dollah Salleh dan sehingga kini, pihak pengurusan masih belum mengikat pemain tersebut.
Kesemua 22 orang pemain yang turun berlatih petang tadi dilihat bebas dari sebarang kecederaan dan pasukan Selangor dijangka akan menurunkan kesebelasan terbaik tanpa sebarang kecederaan dan penggantungan pemain.
Ketua pasukan, Shukor Adan yang ditemui selepas latihan berkata, beliau dibenarkan beraksi Ahad ini setelah tamat penggantungan satu perlawanan. Shukor tidak beraksi ketika menentang Kelantan, Rabu lepas. Menurut beliau, pemain yang menerima kad merah secara terus dalam sesuatu perlawanan, akan digantung dua perlawanan sementara pemain yang diberi dua kad kuning dalam sesuatu perlawanan dan seterusnya dilayangkan kad merah, hanya digantung satu perlawanan.
Sementara itu, Elie Aiboy dilihat sudah cergas sepenuhnya dan akan tambil dengan warna rambutnya yang terbaru. Untuk melihat apakah gaya rambut terbaru dari Elie Aiboy, saksikan aksi dan penampilan beliau Ahad nanti.
Skuad Selangor akan bertolak ke Alor Setar pagi esok dengan menaiki bas rasmi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Dua puluh orang pemain akan dibawa manakala Fadhil Hashim, Norhisham Kamaruddin, Mohd Fahmi Isa dan Azlisham Ibrahim tidak akan menyertai pasukan.
Seisi latihan petang tadi turut disaksikan pengurus pasukan, Dato’ Satim Diman dan disertai kesemua tenaga pelatih skuad utama Selangor.