24.07.05
Debaran Paroi
Oleh: Harian Metro
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh menganggap Negeri Sembilan bukan calang-calang pasukan apabila dua juara kumpulan itu bertembung pada saingan final Liga Premier 2005 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Kenyataan itu dihamburkan berdasarkan kehadiran beberapa pemain berpengalaman beraksi bersama pasukan Hoben Jang Hoben itu sejak beberapa musim lalu.
“Dua pasukan akan berentap dengan rentak serta kemahiran pemain yang tinggi. Paling saya gembira kerana keadaan padang untuk aksi final berada dalam keadaan baik.
“Kami harap persembahan konsisten Selangor musim ini diteruskan dan bergelar juara di Paroi. Saya minta penyokong Gergasi Merah Kuning hadir beramai-ramai memberi sokongan padu bagi merealisasikan kejayaan selaku juara Liga Premier,” katanya selepas sesi latihan skuad Selangor di Stadium Paroi, semalam.
Beliau berkata antara pemain berpengalaman Negeri Sembilan yang perlu diberi perhatian ialah pemain bek, B Rajinikandh, Anuar Jusoh, kapten lasak, Khairul Anuar Baharom dan penyerang import Cameroon berusia 19 tahun, Christian Bakemenga.
Ketika ditanya mengenai kesebelasan utama bakal diturunkan, Dollah berkata: “Saya masih belum menyenaraikan kesebelasan terakhir bagi menghadapi perlawanan itu kerana terdapat ramai pemain simpanan yang bagus yang perlu melalui proses saringan.
“Saya akan menyenaraikan pemain hari ini kerana sukar mendapatkan barisan yang benar-benar sesuai pada saingan peringkat ini. Peluang 50-50 kerana kedua-dua pasukan memiliki kelebihan tersendiri.”
Dollah turut mengharapkan hujan tidak turun pada perlawanan itu bagi memastikan kerancakan perlawanan tidak terjejas.
“Susah bagi pemain kedua-dua pasukan mempamer aksi terbaik mereka khususnya untuk kepuasan penyokong jika hujan. Saya yakin jika tidak hujan, Selangor dan Negeri Sembilan akan beraksi pada tahap terbaik,” katanya.