Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.07.05

Dollah harap anak buah berubah

Oleh: Berita Harian

Apabila latihan dimulakan hari ini selepas tiga hari berehat, jurulatih Dollah Salleh berharap pemain Selangor tampil dengan perwatakan lebih berazam menjelang perlawanan final Liga Perdana menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Sabtu ini.

 

Tanpa sekali-kali memandang rendah terhadap lawan yang menjuarai saingan Kumpulan B liga, Dollah berkata pemain tetap fokus dengan satu lagi misi yang disasarkan musim ini, biarpun tumpuan beralih seketika apabila undian Piala Malaysia diadakan beberapa hari lalu.

 

“Bagi pemain, mereka sering diingatkan supaya fokus terhadap perlawanan berikut, termasuklah final Liga Perdana ini. Malah saya tetap menasihatkan mereka mengekalkan kecergasan walaupun mereka diberi rehat untuk melupakan seketika bola sepak.

 

“Latihan esok (hari ini) akan menjurus ke arah perlawanan final itu dan kami di landasan baik untuk memenangi penghormatan itu biarpun Negeri Sembilan bukan sebuah pasukan mudah dan saya tidak berkesempatan melihat permainan mereka sepanjang musim ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

 

Dalam undian Piala Malaysia Jumaat lalu, Selangor diletakkan dalam Kumpulan D bersama-sama Public Bank, Perak dan MK Land, bermula 6 Ogos dan bekas pemain kebangsaan itu yakin, fokus anak buahnya mampu dijuruskan kepada saingan lebih berprestij itu dalam tempoh dua minggu berikutnya.

 

Begitupun, Dollah mengakui dia tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Negeri Sembilan dan corak permainan barisan K Devan, selain ketika data yang dikumpul semasa membimbing MPPJ musim lalu tetapi jurulatih Selangor itu berpegang bahawa setiap pasukan memiliki keistimewaan dan kelemahan sendiri.

 

Apa yang lebih melegakan ialah barisan pemain Gergasi Merah Kuning bebas daripada kecederaan dan kembalinya pemain sayap kanan import, Elie Aiboy yang terpaksa direhatkan sejak beberapa perlawanan lalu serta peningkatan prestasi pemain simpanan.

 

“Saya lihat Nazzab (Hidzan), Amri (Yahyah) dan Haris Safwan (Kamal) juga semakin baik sejak beberapa perlawanan lalu dan sekali lagi saya berdepan masalah untuk memilih kesebelasan utama,” katanya.