16.07.05
Dollah rimas kubu rapuh
Oleh: Harian Metro
SKUAD Gergasi Merah tampak begitu gagah apabila melayakkan diri ke saingan Liga Super musim depan dengan jaringan terbanyak iaitu 61 gol dan 25 kali bolos, tetapi ia sebenarnya belum mampu menutup kelemahan utama pasukan berkenaan.
Kelebihan Selangor di bahagian serangan yang ditunjangi penyerang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy, Brian Fuentes dari Argentina dan penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus, sememangnya diakui ramai sebagai bahagian paling menyerlah dalam saingan setakat ini.
Kemantapan di bahagian tengah yang diketuai kapten, Shukor Adan dan K Sanbagamaran, juga begitu jitu menerusi umpanan berbahaya dan kemampuan mengawal tempo permainan.
Sayangnya, pertahanan mereka pula gagal mempamerkan aksi terbaik hingga merimaskan penyokong setia pasukan Merah Kuning itu.
Masalah yang bermula pada awal musim hingga Liga Perdana berakhir, gagal diselesaikan walaupun mendapatkan khidmat pertahanan import dari Australia, Badawi Farrah, yang kemudiannya ditamatkan kontrak dua minggu lalu gara-gara mempamerkan prestasi hambar.
Kegagalan pemain di barisan pertahanan mempamerkan aksi mantap jelas diperhatikan dalam beberapa perlawanan Liga Perdana dan Piala FA terutama apabila gawang mereka dibocori empat gol ketika berdepan Kedah dan yang terbaru pertemuan dengan Kelantan dalam saingan suku akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, menyedari bahawa benteng pasukan itu perlu dirombak dengan mendapatkan pengganti Badawi secepat mungkin sebelum tirai Piala Malaysia dibuka 6 Ogos depan.
“Inilah masalah kita sebenarnya sejak awal musim lalu.
“Benteng kita gagal mempamerkan prestasi mantap apabila kerap-kali diasak penyerang lawan,” katanya, semalam.
Saingan dalam Piala Malaysia yang sudah pasti bertambah sengit dengan hanya pasukan terkuat saja beraksi untuk merebut piala paling berprestij itu menyebabkan Selangor tiada jalan lain kecuali mencari pemain pertahanan paling berkaliber untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Badawi.
Hingga malam tadi, dua pemain import yang diuji dalam perlawanan menentang PKNS di padang bola sepak PKNS, Kelana Jaya, masih gagal menambat hati jurulatih kelahiran Melaka itu.
Pada pandangan mata Dollah, aksi dua pemain terbabit iaitu Jouber de Andrada dari Brazil dan Bohoma Etigle Richard dari Cameroon, tidak mempunyai keistimewaan seperti yang diharapkannya.
“Mereka tidak memenuhi kehendak saya iaitu pemain pertahanan yang mampu bertindak sebagai sweeper dan mampu membaca permainan dengan baik.
“Saya mahukan seorang pemain pertahanan yang mampu meyakinkan saya akan kebolehannya beraksi untuk Selangor,” katanya.
Jika dua pemain tinggi lampai itu, Andrada, 192 sentimeter (sm) dan Richard, 197sm, gagal memikat hati Dollah, Selangor akan menguji dua lagi pemain iaitu dari Ireland dan Liberia.
“Keputusan terakhir sama ada kita akan mengambil salah seorang daripada mereka akan dibuat esok (hari ini) selepas perbincangan dengan pengurusan.
“Kita masih mempunyai masa kira-kira tiga minggu lagi untuk mengisi kuota terakhir ini dan kita tidak mahu membuat kesilapan seperti sebelum ini,” katanya.
Dollah tidak mempunyai banyak masa lagi dan perlu menggunakan ruang terhad ini supaya impian mendakap Piala Malaysia sebagai sasaran utama pasukan Merah Kuning musim ini tidak berkubur.