02.07.05
Dollah yakin benam Kedah
Oleh: Harian Metro
Tiga mata keramat menjadi azimat pembangkit semangat Gergasi Merah apabila berdepan musuh terhebat, Kedah, di Stadium Darul Aman, Alor Star, Ahad ini.
Kebanjiran ribuan penyokong Hijau Kuning bukan alasan pemain Merah Kuning akan kelemasan menahan asakan bertali arus jentera serangan Kenari yang diketuai penjaring terbanyak mereka, Gabriel Mendez.
Pastinya, di bahu penjaring terbanyak juara Piala Malaysia 29 kali itu, Bambang Pamungkas dan kembarnya di posisi serangan, Khalid Jamlus, tergalas beban terberat bagi mengembalikan maruah Gergasi Merah kembali beraksi dalam kelompok elit Liga Super musim depan.
Selangor menderita apabila maruah mereka tercalar selepas terjerumus ke Liga Perdana musim lalu, dengan kali terakhir merasai kehangatan Piala Malaysia menerusi jaringan emas Amri Yahyah yang membenam Sabah dalam perlawanan akhir 2002.
Debaran begitu kencang menghuni sanubari jurulatih Merah Kuning, Dollah Salleh, selepas sentuhan ajaibnya membantu MPPJ, menjadi kelab pertama menjulang Piala Malaysia 2003 apabila membenam Sabah 3-0 dengan Juan Manuel Arostegui mencatat hatrik.
“Memang perasaan cukup berdebar menjelang pertemuan dengan Kedah Ahad nanti dan saya tahu bukan saya seorang saja yang menanti penuh debaran perlawanan ini.
“Tetapi, sebelum itu, saya perlu menyusun strategi terbaik bagi memastikan tiga mata berharga ini dapat dikutip, tidak boleh tidak,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Kenari bukan calang-calang lawan dan buktinya dalam dua pertemuan sebelum ini, Selangor hanya mampu mengutip satu mata apabila seri 1-1 di Stadium Shah Alam, sebelum pulang dengan tangan kosong ketika tumpas 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Star.
“Saya tetap menaruh keyakinan bahawa Selangor mampu memenangi perlawanan ini kerana barisan pemain yang diturunkan adalah kesebelasan utama dengan prestasi setiap pemain semakin meningkat, sedangkan dua perlawanan sebelum ini banyak masalah kecederaan melanda pasukan,” katanya.
Katanya, semangat pemain Gergasi Merah semakin membuak-buak untuk menebus kehampaan selepas gagal mencatat sebarang kemenangan ke atas Kedah sebelum ini.
“Kedah memang kebal di tempat sendiri tetapi kita juga sudah bersedia dengan strategi sendiri untuk merobek gawang mereka.
“Elie Aiboy sudah pulih dari kecederaan hamstring, Shukor Adan dan D Surendran juga boleh diturunkan, jadi kita menghadapi perlawanan penting ini dengan pemain terbaik,” katanya.
Selangor hanya memerlukan tiga mata untuk ditabalkan sebagai juara Kumpulan A Liga Perdana apabila mengutip 44 mata daripada 18 perlawanan, sementara Kedah di tangga kedua dengan 40 mata, dan MK Land yang akan berdepan TNB Kelantan Ahad ini mengumpul 39 mata di tangga ketiga.