Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.07.05

Era kebangkitan Merah Kuning

Oleh: Harian Metro

Peluang keemasan menggapai Piala Liga Perdana musim 2005 tidak harus dilepaskan pemain Gergasi Merah selepas berjuang selama lebih lima bulan sejak saingan dimulakan 6 Februari lalu.

 

Selepas menjuarai Kumpulan A Liga Perdana dan melayakkan diri ke Liga Super musim depan, hanya Negeri Sembilan menjadi penghalang pasukan Merah Kuning dimahkotakan sebagai ‘Raja Liga Perdana’ musim ini.

 

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, berkata musim ini yang boleh disifatkan sebagai musim kebangkitan Gergasi Merah di persada bola sepak tempatan perlu diteruskan dengan Piala Liga Perdana mesti dimenangi Sabtu ini.

 

“Selepas kita sampai hingga peringkat ini, kita perlu meneruskannya dengan memastikan Piala Liga Perdana kita genggam.

 

“Kita tidak boleh berpuas hati dan mendabik dada mengatakan kita sebuah pasukan yang kuat, sebaliknya kita kena buktikan memang sebenarnya pasukan kita adalah yang terbaik dengan menumpaskan Negeri Sembilan, Sabtu ini (esok),” katanya.

 

Pertembungan Selangor-Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, malam esok, bakal menentukan jaguh sebenar Liga Perdana musim 2005 ini.

 

Dollah berkata, perlawanan malam esok paling penting dalam menentukan kemampuan sebenar Selangor mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan bermula 6 Ogos depan.

 

“Kita mahu mendakap piala ini kerana ia akan mencetuskan semangat pemain untuk menghadapi Piala Malaysia dan Piala FA selepas ini.

 

“Semangat pemain ketika ini begitu memuncak sekali dan kerana itu mereka tidak harus melenyapkan impian meletakkan Selangor sebagai pasukan yang perlu digeruni lawan selepas ini,” katanya.

 

Katanya, dia yakin barisan pemainnya mampu menangani tekanan pada perlawanan merebut Piala Liga Perdana itu berdasarkan pengalaman dan kemantapan di semua bahagian pasukan itu.

 

“Barisan pemain kita berpengalaman dalam perlawanan genting seperti ini dan tiada sebab mereka perlu tunduk pada tekanan malam esok,” katanya.

 

Jurulatih yang membimbing MPPJ menjulang Piala Malaysia 2003 itu berkata, perlawanan itu nanti pasti berbeza dengan perlawanan sebelum ini tetapi dia menegaskan Selangor tidak akan bermain secara bertahan.

 

“Penonton mahukan perlawanan yang menarik dalam perlawanan ini dan kita akan menyajikan ramuan itu untuk mereka, tetapi kemenangan tetap menjadi fokus kita yang utama,” katanya.

 

Prestasi terbaik yang ditunjukkan semua pemain Merah Kuning turut memberi masalah kepada jurulatih kelahiran Melaka itu untuk memilih kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan malam esok.

 

“Semua pemain begitu bersemangat diturunkan dalam perlawanan ini tetapi saya hanya akan memilih kesebelasan utama berdasarkan prestasi terbaik mereka.

 

“Ia memberi masalah kepada saya tetapi ia sebenarnya berita gembira buat pasukan.

 

“Paling penting sekali, saya mengharapkan mereka yang dipilih nanti mempamerkan prestasi terbaik supaya kita pulang ke Selangor dengan piala Liga Perdana dalam genggaman,” katanya.