21.07.05
‘Faktor Shukor’ jadi kelebihan Selangor
Oleh: Berita Harian
Sekalipun beraksi di gelanggang lawan untuk penentuan juara bola sepak Liga Perdana 2005 menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi Sabtu ini, Selangor mempunyai kelebihan tersendiri untuk memastikan kemenangan.
Kelebihan yang dimaksudkan ialah kapten pasukan, Shukor Adan yang bukan asing dengan Stadium Paroi dan pernah berlatih di bawah bimbingan jurulatih Negeri Sembilan, K Devan ketika mewakili skuad itu selama dua musim pada 2000 dan 2001.
Shukor kini adalah senjata sulit Selangor untuk merosakkan cita-cita besar Negeri Sembilan yang berhajat meraih kejuaraan itu di depan penyokong mereka sendiri.
“Negeri Sembilan silap jika mereka beranggapan mempunyai kelebihan untuk menewaskan Selangor di gelanggang sendiri. Mereka terlupa kami ada Shukor (Adan) yang pernah beraksi bersama mereka dan tahu luar dalam mengenai pasukan itu dan jurulatih mereka K Devan.
“Kami akan gunakan kelebihan ini sebagai senjata sulit untuk memerangkap mereka,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin.
Shukor adalah antara tonggak kejayaan Selangor musim ini apabila menjadi tenaga penting menyalur umpanan kepada jentera serangan selain pemain sayap import dari Indonesia, Elie Aiboy.
Pemain itu yang dilantik sebagai kapten sejak musim lalu sudah menjaringkan empat gol untuk Merah Kuning setakat ini.
Hamidin berkata, selain Shukor Selangor juga mendapat suntikan semangat untuk menentang Negeri Sembilan apabila Elie disahkan sudah pulih dari kecederaan hamstring yang menyaksikannya diketepikan kira-kira dua minggu.
Menurutnya, kehadiran semula Elie tentunya memudahkan lagi rangkaian penyerang Selangor - Bambang Pamungkas, Brian Fuentes dan Khalid Jamlus - merobek benteng pertahanan Negeri Sembilan.
“Selangor turun dengan misi melengkapkan kejayaan layak ke Liga Super dengan menjuarai Liga Perdana. Kita akan turun dengan barisan terkuat untuk mengecewakan Negeri Sembilan di depan penyokong mereka,” katanya.
Sementara itu jurulatih Dolah Salleh menegaskan beraksi di Paroi, bukan satu masalah besar bagi anak buahnya.