Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
15.07.05

FAS rayu tukar stadium

Oleh: Harian Metro

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat rayuan selepas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan menetapkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, sebagai gelanggang pertandingan akhir piala Liga Perdana yang diadakan pada 23 Julai depan.

 

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin, berkata persatuan itu merayu supaya keputusan itu dikaji balik kerana ia dilihat tidak adil kerana gelanggang yang dipilih bukan tempat berkecuali.

 

“Kami agak kecewa dengan keputusan ini kerana ia tidak menggambarkan satu bentuk tindakan yang adil buat Selangor,” katanya semalam.

 

Sehubungan itu, Hamidin berkata, FAS sudah menghantar surat rayuan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, semalam, supaya keputusan itu dikaji balik.

 

Katanya, jika FAM berpegang kepada alasan untuk melihat sejauh mana sambutan penonton di luar Lembah Klang menyaksikan perlawanan akhir itu, satu gelanggang berkecuali yang perlu dipilih dan bukannya gelanggang di bumi Negeri sembilan sendiri.

 

“Ini adalah perlawanan akhir dan bukannya masa untuk membuat uji kaji terhadap sambutan penonton di luar Lembah Klang.

 

“Sepatutnya perlawanan akhir yang menyaksikan kemuncak sesuatu pertandingan diadakan di gelanggang yang boleh menampung bilangan penonton yang ramai, sedangkan stadium berkenaan (Paroi) hanya mampu menampung tidak lebih 30,000 penonton,” katanya.

 

Faktor jarak antara Selangor dan Negeri Sembilan yang hampir satu dengan lain, katanya, juga bukan alasan kukuh kerana jika ia menjadi pegangan FAM, Stadium Shah Alam juga boleh dikunjungi penyokong skuad ‘Hoben Jang Hoben’ itu yang hanya perlu mengambil masa kira-kira 45 minit dari Seremban.

 

“Perlawanan akhir ini sepatutnya menjadi pentas terbaik menarik lebih ramai penonton ke stadium kerana itu juga matlamat FAM musim ini dan Stadium Shah Alam yang mampu memuatkan 80,000 penonton adalah gelanggang terbaik bagi perlawanan ini.

 

“Jika bilangan penonton menyaksikan perlawanan ini begitu tinggi jumlahnya, sudah tentu ia menguntungkan kedua-dua pasukan dari segi kutipan tiket dan imbuhan itu boleh digunakan bagi pembangunan bola sepak negeri masing-masing, apatah lagi selepas FAM memotong ganjaran bagi juara Liga Perdana musim ini” katanya.