Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.07.05

Ganjaran lumayan menanti Selangor

Oleh: Harian Metro

Gergasi Merah menerima suntikan semangat apabila dijanjikan ganjaran lumayan jika melayakkan diri ke Liga Super musim depan dan mendakap Piala Malaysia musim ini.

 

Tetapi, habuan itu hanya mampu dikecapi jika mereka menundukkan Kedah, penghalang terbesar dalam laluan mereka menjuarai Kumpulan A Liga Perdana musim ini, di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam esok.

 

Janji itu dilontarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bagi membakar semangat pemain Merah Kuning ketika mengadakan pertemuan dengan pemain di padang latihan FAS, Kelana Jaya, petang semalam.

 

Dr Mohd Khir yang juga Presiden FAS, berkata pemain perlu menunjukkan semangat tinggi dalam pertemuan Ahad ini, untuk mencipta kemenangan dan mengembalikan maruah Selangor sebagai pasukan yang digeruni suatu ketika dulu.

 

“Setiap pemain perlu mempamerkan prestasi terbaik dengan penuh semangat tinggi dalam perlawanan dengan Kedah nanti.

 

“Kemenangan yang dicapai ini amat penting kerana ia akan membantu pasukan Selangor bermain dalam Liga Super untuk bersaing dengan pasukan handalan lain di negara ini,” katanya dalam pertemuan dengan pemain, petang semalam.

 

“Kita mahu mendakap Piala Malaysia musim ini selepas kali terakhir memenanginya pada 2002 lalu,” katanya.

 

Sementara itu, Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman berkata, kehadiran Menteri Besar yang juga Presiden FAS, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di padang latihan semalam, membuktikan bahawa perjuangan pemain Merah Kuning mendapat sokongan jitu semua pihak.

 

“Pemain harus ingat bahawa sokongan kepada mereka tidak berbalah-bahagi dan kerana itu mereka perlu mempamerkan prestasi membanggakan apabila bertemu Kedah nanti.

 

“Mereka juga harus ingat bahawa inilah masa terbaik untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan Selangor dan peluang ini tidak harus dilupakan,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Nor, berkata sebanyak 15 buah bas penyokong Selangor akan mengiringi pemain ke Alor Star, Ahad ini bagi menyemarakkan semangat pemain Merah Kuning dalam perlawanan itu.

 

“Kita berharap lebih ramai penyokong Selangor turut memenuhi Stadium Darul Aman, Ahad ini, dan memberi sokongan padu kepada pemain,” katanya.