14.07.05
Gergasi Merah usah leka
Oleh: Harian Metro
Pemain Gergasi Merah diingatkan supaya tidak leka dibuai keseronokan selepas merangkul gelaran juara Kumpulan A Liga Perdana apabila bertemu Kelantan dalam peringkat kedua suku akhir di Stadium Shah Alam, malam ini.
Lima gol yang membolosi gawang Perlis dalam pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Mohd ke-1V lalu, perlu disemat dalam pemikiran pemain Merah Kuning bahawa Kelantan bukan satu pasukan yang mudah ditewaskan.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, berkata Kelantan adalah satu pasukan yang mempunyai kekuatan dari segi kerjasama padu antara pemainnya dan ia dibuktikan apabila Selangor nyaris tewas serta terpaksa menunggu jaringan Khalid Jamlus pada minit terakhir permainan untuk mengikat kedudukan dalam perlawanan pusingan pertama.
“Semangat pemain Kelantan sebagai satu pasukan memang sukar dinafikan dan kerana itu pemain Selangor perlu berhati-hati dalam perlawanan malam esok (ini).
“Jika leka, mereka akan mengambil kesempatan itu untuk menghukum pertahanan kita dan saya meminta supaya pemain mengelakkan penyakit ini daripada terus berulang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Dalam perlawanan di Kota Bharu 29 Jun lalu, Selangor bernasib baik apabila seri 1-1 menentang Kelantan dengan penjaga gawang veteran, Halim Napi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan berbahaya pemain Merah Kuning.
Dollah berkata, pemain Selangor juga diingatkan supaya tidak menamatkan suasana ceria yang melingkari kem pasukan mereka selepas layak beraksi dalam Liga Super musim depan.
“Saya begitu gembira sekali menyaksikan pemain menikmati rutin latihan dalam keadaan ceria selepas sasaran ke Liga Super tercapai.
“Saya harap mereka meneruskan suasana ceria ini dengan mencipta kejayaan ke atas Kelantan malam esok (ini),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dollah berkata, dia akur dengan keputusan FAM yang menetapkan Stadium Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, sebagai gelanggang pertandingan penentuan juara Liga Perdana antara Selangor dan Negeri Sembilan, Sabtu depan.
“Kalau boleh, saya inginkan gelanggang berkecuali bagi perlawanan ini supaya lebih adil bagi kedua-dua pasukan.
“Tetapi, ini adalah keputusan FAM dan saya terima dengan hati terbuka,” katanya.