23.07.05
Harapan Bambang
Oleh: Harian Metro
Saya begitu optimistik dengan pasukan Selangor musim ini yang terdiri daripada pemain yang cukup pengalaman dan mantap di semua bahagian.
Saya juga begitu yakin pasukan ini mampu pergi jauh terutama matlamat mereka memenangi Piala Malaysia musim ini.
Semasa saya ditawarkan beraksi bersama Selangor oleh pengurus pasukan, Datuk Satim Diman, dia memaklumkan saya mengenai harapan mengembalikan Selangor sebagai sebuah pasukan yang digeruni di negara ini.
Ini kerana saya mengetahui bahawa Selangor adalah satu pasukan yang kuat satu waktu dulu dan kini dalam proses bangkit semula.
Jadi, pada saya itu adalah satu cabaran dan saya berani menyahut cabaran itu kerana saya sukakannya.
Pada saya, tiada guna beraksi dengan pasukan yang sudah mantap kerana kemampuan sebenar kita tidak diuji sepenuhnya.
Jika kita berjaya membawa kejayaan bagi sebuah pasukan yang mahu memulihkan semula kekuatannya, bagi saya itu adalah satu kemenangan dan membuktikan seseorang pemain itu memang terbaik.
Walaupun menjaringkan 22 gol dalam saingan Liga Perdana, saya masih belum berpuas hati dengan prestasi peribadi kerana saya tahu, saya mampu melakukan yang lebih baik.
Perlawanan merebut Piala Liga Perdana menentang Negeri Sembilan ini adalah peluang saya untuk membuktikan keupayaan sebenar saya.
Saya begitu gembira beraksi dengan pasukan Selangor kerana semua pihak mempunyai kerjasama yang cukup baik, daripada pemain hingga pengurusannya.
Begitu juga dengan penonton yang sentiasa menyokong pasukan ini kerana dengan adanya mereka, ia akan membangkitkan semangat pemain memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Selepas matlamat pertama layak ke Liga Super musim depan tercapai, hasrat saya kini ialah membantu Selangor mengutip piala pertamanya musim ini dan ia juga akan menjadi piala pertama bagi saya bersama Selangor.
Saya juga gembira dengan kehadiran semula rakan saya, Elie Aiboy yang pulih daripada kecederaan kerana ini akan mengukuhkan jentera serangan Selangor.
Apa yang saya harapkan di perlawanan esok, semua pemain menunjukkan prestasi terbaik mereka dan berjuang hingga ke wisel penamat.
Bagi saya, jika kita sudah berjuang bersungguh-sungguh, tiada sebab untuk kita tidak berjaya mencapai matlamat yang kita mahukan.”