29.07.05
Isu Badawi ajar Satim
Oleh: Berita Harian
Pengalaman pahit terpaksa menamatkan kontrak Badawi Farrah lebih awal membuatkan Selangor tidak mahu terburu-buru mencari pertahanan import baru sekalipun agak terdesak memantapkan posisi berkenaan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia tidak lama lagi.
Sejak kontrak Badawi ditamatkan bulan lalu, Selangor sudah menguji tidak kurang lima pemain import dari Eropah, Amerika Selatan dan Afrika Selatan untuk menggantikannya tetapi tiada seorang pun dari calon terbabit berjaya memikat perhatian mereka.
Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman, menjelaskan Selangor mempunyai kriteria khusus untuk pemilihan pemain import berkenaan kerana posisi pertahanan kini menjadi agenda utama skuad itu untuk dimantapkan.
“Kami mahu memberi perhatian serius terhadap benteng pertahanan yang kini dilihat masalah tunggal buat Selangor. Selepas menempuh pengalaman pahit bersama Buddy (Badawi) yang gagal memberi sumbangan bermakna, Selangor tidak mahu lagi terburu-buru menandatangani pemain import baru,” katanya yang mengakui Selangor akan cuba mendapatkan pertahanan import baru itu sebelum bermulanya kempen Piala Malaysia 6 Ogos nanti.
Masalah pertahanan jelas merunsingkan Selangor apabila hampir dikecewakan Negeri Sembilan dalam perlawanan penentuan juara Liga Perdana di Seremban minggu lalu selepas ketinggalan dua gol sebelum berjaya bangkit di akhir permainan untuk mencipta kemenangan 4-2 pada masa tambahan.
Keadaan sama juga berlaku pada pertemuan suku akhir kedua Piala FA menentang Kelantan dua minggu lalu di mana mereka membiarkan lawan bermaharajalela di babak kedua untuk mengikat perlawanan 3-3 selepas mendahului 3-1 pada suatu ketika sebelum mencipta kemenangan 5-4 pada masa tambahan.
Satim berkata, semua pemain import yang diuji sebelum ini gagal memenuhi kriteria khusus yang diperlukan iaitu bukan saja mampu mengawal benteng pertahanan dengan baik tetapi juga boleh membantu bahagian tengah.
“Selagi tidak menemui ciri-ciri pemain diidamkan, Selangor tidak akan membuat keputusan terburu-buru memilih pemain import baru. Kami mahu pastikan pemain yang dipilih kali ini benar-benar berbaloi dengan pelaburan yang dikeluarkan,” katanya sambil mendedahkan Selangor akan menguji dua lagi pemain pertahanan import iaitu masing-masing dari Ireland dan Liberia.