Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.07.05

Merah Kuning rai kejayaan

Oleh: Berita Harian

Pemain dan penyokong meraikan kejayaan (The Star)

Kain rentang ‘SSFC - We are the champions’ dan ‘Selangor - Welcome to Super League 2006’ yang diarak sekeliling Stadium Shah Alam oleh pemain dan penyokong Gergasi Merah Kuning kelmarin sudah cukup menggambarkan kegembiraan mereka selepas muncul juara Kumpulan A Liga Perdana.

 

Riak wajah gembira pemain, jurulatih, pegawai pasukan serta penyokong yang berpesta sepanjang malam jelas berbeza daripada kedukaan pengendali Merah Kuning itu musim lalu, Ismail Ibrahim dan anak buahnya yang tersungkur kecewa selepas laluan mereka dipintas oleh Telekom Melaka yang menjuarai Kumpulan A.

 

Kemenangan selesa 3-0 ke atas Brunei menerusi jaringan kapten Shukor Adan, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes memperlihatkan dominasi mutlak Merah Kuning di babak kedua sungguhpun hampir dicemaskan penalti Oluseye Ajayi dari Brunei pada minit ke-43 yang diselamatkan penjaga gol, Jamsari Sabian.

 

Pada awalnya, penyokong seakan memikirkan pisang akan berbuah dua kali selepas penalti Bambang pada minit ke-19 diselamatkan penjaga gol, Alizanda Sitom.

 

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh yakin dengan kemampuan pemainnya menjuarai Kumpulan A dengan kemenangan dalam perlawanan ini selepas memiliki firasat mengenainya dalam perlawanannya sebelum ini.

 

“Saya tahu lambat laun perkara ini akan berlaku. Saya merasakannya selepas tamatnya perlawanan liga dengan Kedah, Ahad lalu.

 

“Pada perlawanan itu mereka memberikan usaha 150 peratus dan pada perlawanan ini, sungguhpun pemain agak keletihan mereka berjaya menampilkan yang terbaik bagi mengecapi kemenangan ini,” katanya.

 

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman melahirkan rasa gembiranya dapat menyaksikan gelaran Liga Perdana Kumpulan A, dikecapi di depan penyokong mereka di gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam.

 

“Alhamdulillah, kami berjaya meraihnya dan lebih manis ia dilakukan di depan penyokong di gelanggang keramat kami, Shah Alam,” katanya.

 

Stadium Shah Alam dibuka semula buat perlawanan Liga Perdana selepas ia ditutup untuk kerja-kerja pembaikan sesudah berlakunya rusuhan kecil akibat perasaan tidak puas hati di kalangan penyokong Selangor apabila perlawanan Selangor-Melaka ditangguhkan kerana hujan lebat pada 27 Mac lalu.

 

Sungguhpun padang itu kelihatan seperti padang jarak, padang terkukur dengan ketiadaan rumput di beberapa kawasan, pemain dan penyokong tidak mempedulikannya ketika berarak kegembiraan di sekeliling padang bagi meraikan kehadiran mereka ke Liga Super musim depan serta Piala Malaysia musim ini.