Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.07.05

MK Land 1 Selangor 1 (Liga Perdana)

Oleh: misai117

Selangor menutup tirai TM Liga Perdana 2005 dengan mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan tetangga, MK Land di Stadium MPS, Selayang malam tadi.

 

Selangor yang bakal menyertai TM Liga Super tahun hadapan hanya menurunkan dua pemain utama mereka, Nazrul Erwan Makmur dan Bambang Pamungkas dalam kesebelasan pemain pada perlawanan ke-21 bagi Kumpulan A ini. Selebihnya hanyalah para pemain simpanan dan juga diselitkan beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden.

 

MK Land menurunkan barisan utama kerana mereka memerlukan kemenangan bagi memastikan kedudukan mereka di tangga kedua tidak digugat oleh pasukan Kedah.

 

Kesungguhan awal MK Land membuahkan hasil apabila seawal minit ke-2, Mario Mijatovic telah dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh penjaga gol Selangor pada malam ini, Shahrizan Ismail. Mario sendiri mengambil sepakan tersebut dan mudah menewaskan Shahrizan untuk MK Land mendahului 1-0.

 

Selepas jaringan tersebut, Selangor kembali melakukan asakan menerusi gandingan Bambang Pamungkas dan Haris Safwan di bahagian serangan Selangor.

 

Hasilnya, pada minit ke-12, Selangor dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti pasukan MK Land. Ketua pasukan Selangor pada malam ini, Nazzab Hidzan tidak melepaskan peluang tersebut apabila sepakannya terus berjaya menewaskan penjaga gol MK Land, S,Shankar untuk gol penyamaan Selangor.

 

Minit ke-24, MK Land nyaris di depan apabila percubaan Raja Azlan Shah hanya singgah di palang gol Selangor meskipun Shahrizan Ismail sudahpun tertewas.

 

Babak pertama tamat dengan kedudukan kekal 1-1.

 

Bermula babak kedua, Selangor dilihat mula melakukan asakan demi asakan ke pintu gol tuan rumah. Gandingan pemain-pemain muda seperti Razman Roslan, Fairuz Montana, Haris Safwan dan Amri Yahyah seringkali mengucarkacirkan pertahanan pasukan MK Land.

 

MK Land pula mengeluarkan S.Padiya Rau pada minit ke-62 bagi memberi laluan kepada bekas pemain Selangor, Shahrin Majid untuk mengemudi jentera serangan MK Land.

 

Dua minit kemudian, Selangor pula nyaris mendahului apabila hantaran Haris Safwan berjaya melorongkan bola kepada Fairuz Montana yang hanya berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol MK Land, tetapi sepakan penyudah dari Fairuz Montana agak meliar.

 

Berbaki 15 minit, Selangor mengeluarkan Razman Roslan dan Fairuz Montana bagi memberi peluang kepada dua pemain daripada skuad Piala Presiden iaitu Raimi Mohd Nor dan Amirul Hadi merasai pengalaman beraksi dalam TM Liga Perdana.

 

Bambang Pamungkas dilihat terus untuk cuba mencari satu gol bagi menyamakan jumlah jaringan dengan pendahulu penjaring terbanyak, Marlon Alex James. Namun usaha beliau tidak menemui hasil dan Dollah Salleh bertindak mengeluarkan Bambang pada minit ke-81 bagi mengelakkan sebarang kecederaan menjelang pertemuan Suku Akhir Ke-2, TM Piala FA menentang Kelantan, Rabu ini.

 

Norhisham Kamarudin dibawa masuk menggantikan Bambang Pamungkas dan kedudukan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan untuk Selangor menamatkan TM Liga Perdana 2005 bagi Kumpulan A selaku juara dengan jumlah 51 mata dari keseluruhan 21 perlawanan.

 

SELANGOR:

22-SHAHRIZAN ISMAIL, 18-AIMAN TAN FIRDAUS, 14-S.SIVARAM, 5-NAZRUL ERWAN MAKMUR, 15-P.GUNALAN, 3-RAZMAN ROSLAN (13-RAIMI MOHD NOR), 7-NAZZAB HIDZAN, 11-FAIRUZ MONTANA (2-AMIRUL HADI), 17-AMRI YAHYAH, 9-HARIS SAFWAN, 20-BAMBANG PAMUNGKAS (16-NORHISHAM KAMARUDIN)