Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.07.05

MK Land, Selangor jumpa lagi

Oleh: Harian Metro

Jika Kuala Lumpur tidak diundi dalam kumpulan lain, persaingan Piala Malaysia yang bermula 6 Ogos depan pastinya lebih menarik dengan menyaksikan semua pasukan yang mara ke separuh akhir Piala FA musim ini, bersaing sesama sendiri buat kali kedua dalam Kumpulan D.

 

Dalam pengundian yang dijalankan di Hotel Pan Pacific, Glenmarie, Shah Alam, malam tadi, Kumpulan D diwakili tiga pasukan yang layak ke separuh akhir Piala FA iaitu Perak, Selangor dan Public Bank, dengan tinggal satu kekosongan untuk diisi sama ada Kuala Lumpur atau MK Land, dua pasukan yang terbabit dalam pengundian terakhir.

 

Bagaimanapun, MK Land yang diundi dalam Kumpulan D, sementara Kuala Lumpur bakal membawa cabaran dalam Kumpulan B.

 

Tetapi, Kumpulan D tetap menjadi tumpuan selepas tiga pasukan dari Lembah Klang iaitu Selangor, MK Land dan Public Bank bersaing antara mereka, di samping berdepan cabaran satu lagi pasukan, Perak yang mencipta keajaiban apabila menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini, selepas menghuni tangga tercorot pada awal saingan pusingan ketiga liga elit itu.

 

Bagaimanapun, Perak dan juara Kumpulan A Liga Perdana, Selangor, tetap menjadi tumpuan untuk layak ke saingan suku akhir yang bermula 3 September depan.

 

Pertarungan Selangor-MK Land juga mencatat sejarah sebagai dua pasukan yang bersaing dalam semua kejohanan musim ini apabila mereka yang berada dalam satu kumpulan dalam Liga Perdana, berdepan saingan pusingan kedua Piala FA dan sekali lagi membuat perhitungan untuk Piala Malaysia kali ini.

 

Juara Liga Super musim ini dan penyandang Piala Malaysia, Perlis, boleh mencongak strategi untuk menghadapi saingan suku akhir selepas diundi menentang pasukan tercorot Liga Super musim ini, Sabah yang tersingkir ke Liga Perdana musim depan, dan dua pasukan Liga Perdana iaitu Terengganu dan PKNS dalam Kumpulan A.

 

Bagaimanapun, Perlis sebenarnya bukan berdepan cabaran dari kumpulan itu tetapi masalah keletihan melampau yang perlu dihadapi pemainnya akibat terpaksa menempuh perjalanan jauh merentasi Laut Cina Selatan bertemu Sabah, sebelum ke Pantai Timur berdepan cabaran Terengganu dan ke Lembah Klang menentang PKNS.

 

Dalam Majlis Undian TM Piala Malaysia 2005 yang dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, turut menyaksikan naib juara Liga Super musim ini, Pahang juga boleh memasang impian ke saingan suku akhir.

 

Mereka hanya berdepan cabaran juara Piala Malaysia 2003, MPPJ, yang masih bergelut mencari prestasi terbaik pemainnya, naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kedah dan pasukan berstatus kelab, Johor FC dalam Kumpulan C.

 

Kumpulan B menyaksikan persaingan sengit untuk merebut dua tempat ke suku akhir apabila dua pasukan Liga Perdana, juara Kumpulan B Liga Perdana iaitu Sembilan dan pasukan di tangga keempat Kumpulan A Liga Perdana, Kuala Lumpur, berdepan saingan pasukan Liga Super yang merudum prestasinya di akhir musim, Pulau Pinang dan Telekom Malaysia.

 

Menerusi undian yang dijalankan itu, dua pasukan iaitu johan dan naib johan kumpulan layak ke suku akhir yang diadakan secara timbal balik, sementara pemenang bertarung di separuh akhir pada 14 dan 18 September depan.

 

Kemuncak Piala Malaysia yang menyaksikan dua pasukan terkuat akan beraksi di final pada 1 Oktober depan.