Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.07.05

Selangor 3 Brunei 0 (Liga Perdana)

Oleh: misai117

Aksi Bambang menentang Brunei (NSTP)

Selangor akhirnya mengesahkan tempat ke Liga Super 2006 setelah memungut 3 mata penuh dengan menewaskan Brunei 3-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

 

Setelah dua tahun terperosok di Liga Perdana, impian pasukan Selangor untuk menyertai Liga Super yang diperkenalkan sejak dua tahun lepas tercapai apabila berjaya mengumpul 50 mata dengan tinggal hanya satu baki perlawanan sahaja. Pesaing terdekat, MK Land hanya mampu mungumpul 45 mata, sekaligus mengesahkan Selangor sebagai Juara Kumpulan A, TM Liga Perdana 2005.

 

Selangor turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk Nazrul Erwan dan Elie Aiboy yang cedera, manakala Amri Yahyah dan Khalid Jamlus terpaksa diketepikan setelah dikenakan kad merah dalam perlawanan menentang Kedah, Ahad lepas.

 

Babak awal permainan menunjukkan aksi seimbang daripada kedua-dua pasukan. Namun, tidak banyak gerakan menarik yang dapat dilihat.

 

Hinggalah pada minit ke-15, di mana Bambang Pamungkas yang mendapat

peluang untuk melakukan jaringan, telah dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan Brunei.

 

Pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Selangor, namun

Bambang Pamungkas gagal menyempurnakan peluang tersebut apabila sepakan beliau ke sebelah kiri berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Brunei.

 

Selepas itu Selangor tidak putus asa dan terus berusaha untuk mencari gol semangat, namun masih gagal memecah kebuntuan.

 

Ketika Selangor ghairah mengasak, Brunei pula mendapat satu sepakan penjuru. Brian Fuentes yang cuba untuk mengeluarkan bola dari kotak penalti, tertampan bola sepakan penjuru tersebut dengan tangan dan pengadil tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada Brunei pada minit ke-42.

 

Malang juga menimpa Brunei, apabila sepakan penalti oleh Oluseye Ajayi

berjaya ditampan keluar oleh Jamsari Sabian untuk mengikat kedudukan

0-0 kekal sehingga waktu rehat.

 

Separuh masa kedua dimulakan tanpa pertukaran pemain dari kedua-dua pasukan.

 

Hanya dua minit diperlukan untuk Selangor berada di hadapan. Bermula

dengan tandukan K.Sanbagamaran yang diselamatkan pemain Brunei di atas

garisan gol, bola tersebut berlegar-legar di hadapan pintu gol Brunei.

Shukor Adan terus meluru untuk merembat kencang ke gawang gol Brunei

untuk Selangor mendahului 1-0 pada minit ke-47.

 

Menyedari satu gol tidak menjamin kedudukan Selangor untuk memenangi

perlawanan ini, Selangor terus menggandakan asakan ke arah kubu

pertahanan Brunei. Pada minit ke-74, Bambang Pamungkas berjaya juga

menebus kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama.

 

Bambang yang menerima hantaran lintang dari sebelah kiri berjaya mengawal bola tersebut sebelum mencari ruang untuk meledak masuk gol kedua Selangor dengan munggunakan kaki kiri. Gol tersebut merupakan gol ke-22 beliau dalam Liga Perdana musim ini dan hanya ketinggalan satu gol sahaja di belakang pendahulu penjaring terbanyak, Marlon Alex James.

 

Selepas gol tersebut, Dollah Salleh mula memperlahankan rentak permainan anak buahnya dengan mengeluarkan Haris Safwan, Nazzab Hidzan dan D.Surendran bagi memasukkan P.Gunalan, Razman Roslan dan Fadhil Hashim.

 

Malam gemilang Selangor diakhiri dengan jaringan ke-3 menerusi hantaran cantik Bambang Pamungkas dari sebelah kiri kotak penalti dan ditolak kemas oleh pemain import dari Argentina, Brian Fuentes pada minit ke-87 untuk kedudukan muktamad Selangor menewaskan Brunei, 3-0.

 

Dengan kemenangan ini, Selangor tidak perlu menurunkan kesebelasan utama dalam perlawanan terakhir menentang MK Land, Ahad ini kerana sudah terjamin kedudukan sebagai Juara Kumpulan A, TM Liga Perdana 2005. Dollah pasti menurunkan barisan simpanan bagi memberi cukup rehat kepada pemain utamanya menghadapi perlawanan kedua, Suku Akhir TM Piala FA 2005 menentang Kelantan di Stadium Shah Alam, Rabu depan.

 

SELANGOR:

1-JAMSARI SABIAN, 2-THARMINI SAIBAN, 14-S.SIVARAM, 6-SAIFULNIZAM

HUSSAIN, 19-D.SURENDRAN (13-FADHIL HASHIM), 9-HARIS SAFWAN

(15-P.GUNALAN), 12-K.SANBAGAMARAN, 25-SHUKOR ADAN, 7-NAZZAB HIDZAN

(3-RAZMAN ROSLAN), 10-BRIAN FUENTES, 20-BAMBANG PAMUNGKAS