24.07.05
Selangor 4 Negeri Sembilan 2 (Piala Liga Perdana)

Pemain Selangor meraikan kejayaan (The Star)
Selangor kembali dari ketinggalan dua gol untuk menewaskan Negeri Sembilan 4-2 dalam masa tambahan seterusnya menjulang juara Liga Perdana 2005 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini.
Negeri Sembilan seharusnya menyalahkan diri sendiri di atas kekalahan ini kerana selepas mendahului 2-0 menerusi jaringan Anuar Jusoh di minit ke 5 dan Idris Karim di minit 53, si Rusa membiarkan Selangor menyamakan kedudukan.
Di hadapan kira-kira 45 000 orang penyokong dari kedua-dua pasukan, permainan menghiburkan ditunjukkan oleh Selangor dan Negeri Sembilan.
Selangor bermula garang dengan permainan baru berusia dua minit, Bambang Pamungkas telah menguji penjaga gol lawan Azizon Kadir apabila sepakan leretnya berjaya diselamatkan sebelum giliran Khalid Jamlus beberapa minit kemudian pula mencuba.
Azizon bertindak cemerlang menangkis serangan barisan penyerang Selangor sebelum Negeri Sembilan mula menguasai perlawanan di mana sepakan Abduleteef Seriki terkena tiang manakala sepakan jarak dekat Christian Bekamenga berjaya dihalang Jamsari Sabian.
Namun di minit ke 15, D Surendran menjatuhkan pemain sayap kanan Negeri Sembilan K Rajan betul-betul di luar kotak penalti. Sepakan percuma yang dihadiahkan pengadil tidak disia-siakan oleh Anuar Jusoh apabila sepakan lencongnya hanya mampu ditepis ke dalam gol oleh Jamsari.
Dengan Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy dikawal rapi, ditambah dengan kegagalan Khalid Jamlus menyempurnakan kesempatan terhidang, Selangor jelas kehabisan idea dan separuh masa pertama tamat dengan Negeri Sembilan mendahului 1-0.
Separuh masa kedua bermula dengan Selangor mula mengasak kubu Negeri Sembilan untuk mencari gol penyamaan namun dikejutkan oleh gol kedua Negeri Sembilan pada minit ke 53. Sepakan percuma yang diambil oleh Anuar Jusoh melepasi semua pemain pertahanan Selangor dan Idris Karim yang tidak dikawal mudah menanduk masuk.
Ketinggalan dengan dua gol, jurulatih Dollah Salleh membawa keluar Khalid Jamlus dan Elie Aiboy yang nyata kurang berkesan dan menggantikan mereka dengan Haris Safwan dan Amri Yahyah. Penggantian ini memberi nafas baru pada corak serangan Selangor dengan Negeri Sembilan memilih untuk bertahan.
Hasilnya pada minit ke 79, Bambang Pamungkas yang menerima bola di dalam kotak penalti melorongkan kepada Shukor Adan. Shukor melepaskan sepakan yang ditepis oleh Azizon namun Brian Fuentes pantas menyambar bola tersebut dan menjaringkan gol pertama Merah Kuning. Gol pembakar semangat itu kembali menceriakan penyokong pasukan Selangor.
Dollah membuat satu lagi pertukaran apabila menggantikan Saifu Nizam Husin dengan Nazzab Hidzan bagi menambah bisa Merah Kuning. Masa yang suntuk kelihatan tidak memihak kepada Selangor namun di saat penyokong Negeri Sembilan bersedia merayakan kemenangan mereka Selangor memperolehi sepakan sudut pada minit ke 90.
Tanpa diduga sepakan sudut yang diambil Nazzab menemui Sanbagamaran yang tidak dikawal lalu mudah menanduk masuk gol penyamaan menewaskan Azizon sambil kekecewaan jelas terbayang di wajah pemain Negeri Sembilan.
Perlawanan bersambung ke masa tambahan dengan Selangor sepenuhnya menguasai perlawanan dengan pemain Negeri Sembilan jelas keletihan. Namun peluang demi peluang disia-siakan termasuk sepakan jarak jauh Nazzab yang sipi dan tandukan Fuentes yang terkena palang.
Negeri Sembilan hampir menghukum kealpaan benteng Selangor apabila Che Hishamudin berjaya memperdayakan Nazrul Erwan sebelum melambungkan bola melepasi Jamsari. Namun bola tersebut berjaya dikeluarkan oleh Amri Yahyah sebelum ia melepasi garisan gol.
Pada minit ke 118, sepakan sudut Nazzab ditumbuk keluar Azizon namun D Surendran yang menunggu di luar kotak meledakkan satu sepakan cantik menerjah jaring bagi meletakkan Selangor di hadapan buat pertama kali.
Dengan perlawanan berbaki seminit, cubaan Nazzab terkena P. Sivananthan dan bola yang melantun disambut baik oleh Bambang yang mudah meleretkan bola melepasi Azizon untuk melengkapkan malam gemilang Merah Kuning.
SELANGOR - Jamsari Sabian, D. Surendran, Nazrulerwan Makmor, Mohd Saiful Nizam Husin (Nazzab Hidzan), Ahmad Tharmini Saiban, Elie Aiboy (Mohd Amri Yahyah), K. Sanbagamaran, Muhammad Shukor Adan, Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Muhammad Khalid Jamlus (Mohd Haris Safwan Kamal)