Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.07.05

Selangor 5 Kelantan 4 (Suku Akhir 2 Piala FA)

Oleh: misai117

Shukor Adan

Shukor diasak pemain Kelantan (NSTP)

Biarpun sang kijang dari pantai timur berjaya menjinakkan sang singa dari utara bulan lepas, namun sang gergasi ternyata bijak menidakkan hasrat sang kijang untuk terus berkuasa apabila sang gergasi berjaya membaham jua kelicikan sang kijang di Stadium Shah Alam, malam tadi.

 

Perumpaan di atas sebenarnya merujuk kepada pertembungan kedua dalam saingan Suku AKhir TM Piala FA 2005 di antara pasukan tuan rumah, Selangor dan pasukan dari Liga FAM, Kelantan Darul Naim yang berkesudahan dengan Selangor mara ke separuh akhir dengan agreget 6-5 setelah menang 5-4 dalam perlawanan malam tadi.

 

Namun, kemaraan pasukan Selangor tidak semudah yang disangkakan apabila Kelantan berjaya mengikat kedudukan 3-3 sehingga tamat 90 minit perlawanan. Namun, Selangor lebih bertenaga dalam masa tambahan 30 minit apabila berjaya menambah dua jaringan sementara Kelantan hanya memperoleh satu jaringan sahaja.

 

Lebih 5000 warga Kelantan yang menetap di Lembah Klang sanggup turun ke stadium walaupun Rabu adalah hari bekerja semata-mata kerana rindukan aksi berkualiti yang membabitkan pasukan kebanggaan mereka selain ingin juga melawan sorakan hampir 30000 penonton tuan rumah yang turut dibarisi sebilangan kecil warga Indonesia yang dahagakan aksi idola mereka, Bambang Pamungkas.

 

Separuh masa pertama dimulakan tepat 8.45 malam di atas padang yang agak sedikit basah ekoran hujan lebat yang melanda Shah Alam sepanjang petang. Selangor yang menampilkan barisan terkuatnya kecuali Elie Aiboy lebih dahulu mengasak ke arah kubu Kelantan yang dikawal oleh penjaga gol veteren, Halim Napi.

 

Pada minit ke-10, Selangor sudah berada di hadapan apabila hantaran lintang Amri Yahyah dari sebelah kanan tepat ke arah Brian Fuentes, namun berjaya dipintas pertahanan Kelantan. Namun, bola tepat menuju ke arah Bambang Pamungkas. Bambang bijak mengawal bola tersebut sebelum meledakkan sepakan yang cukup deras yang gagal ditepis kemas oleh Halim Napi untuk kedudukan Selangor mendahului Kelantan 1-0.

 

Selangor terus mendapat beberapa lagi peluang keemasan selepas itu, namun gagal diterjemahkan oleh Khalid Jamlus, Brian Fuentes serta Bambang Pamungkas. Amri Yahyah juga dilihat gagal melepasi benteng Kelantan dan jarang melakukan hantaran-hantaran lintang ke dalam kotak penalti pasukan lawan.

 

Kelantan juga turut beberapa kali mencemaskan pintu gol Selangor, namun Jamsari Sabian masih belum merelakan pintu golnya dibolosi lawan. Kedudukan 1-0 kekal sehingga waktu rehat.

 

Separuh masa kedua dimulakan tanpa sebarang pertukaran tetapi dihidangi dengan banyak jaringan gol dari kedua-dua pasukan.

 

Pada minit ke-46, Kelantan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Sairozi Daud. Gol berpunca apabila hantaran jauh dari pertahanan Kelantan terus menuju ke dalam kotak penalti Selangor. D.Surendran yang sepatutnya mengeluarkan bola tersebut gagal berbuat demikian apabila bola tersangkut dalam lopak air dan Sairozi dengan pantas merampas bola tersebut sebelum meledakkan jaringan.

 

Kegembiraan penyokong dan pemain Kelantan hanya bertahan selama 2 minit sahaja. Pada minit ke-48, hasil hantaran leret dari sebelah kanan Amri Yahyah, K. Sanbagamaran yang berada betul-betul di tengah kotak penalti mudah menguis masuk untuk gol kedua Selangor.

 

Tidak cukup dengan itu, dua minit kemudian, Bambang Pamungkas bertindak sendirian sebelum melepaskan rembatan kencang dari sebelah kiri di dalam kotak penalti Kelantan dan menggamamkan Halim Napi di gawang gol. Pada minit ke-50, Selangor selesa mendahului 3-1.

 

Berkedudukan di hadapan, Khalid Jamlus berpeluang menjarakkan jurang seterusnya menamatkan sisa-sisa baki tentangan pasukan pelawat, namun beliau yang menerima hantaran cantik dari barisan tengah dan hanya berhadapan dengan Halim hanya mampu menyepak liar seterusnya mengundang kemarahan penyokong tuan rumah.

 

Jelas kegagalan itu menyebabkan Kelantan bersemangat semula dan melancarkan serangan demi serangan ke kubu Selangor yang jelas sudah berpuas hati. Dollah Salleh cuba menggendurkan asakan dengan mengeluarkan K.Sanbagamaran dan memasukkan Nazzab Hidzan. Namun, tindakan Jurulatih Selangor itu memakan diri apabila tanpa disangka-sangka Kelantan berjaya memperolehi dua jaringan pantas.

 

Penyerang import Kelantan dari Thailand, Suriya Domtaisung berjaya menyumbat dua gol mudah pada minit ke-55 dan 65 sesudah memanfaatkan kelalaian benteng pertahanan Selangor.

 

Kedudukan terikat 3-3 dan Selangor mengeluarkan Amri Yahyah dan memasukkan pemain muda, Razman Roslan bagi menjana kembali barisan serangan mereka yang mula goyah. Namun, kedudukan tersebut kekal sehingga minit ke-90 dan perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit.

 

Selangor melengkapkan pertukaran pemain dengan mengeluarkan Khalid Jamlus yang kurang menyinar malam ini dan memasukkan Haris Safwan.

 

Dua minit perlawanan masa tambahan dimulakan, Bambang Pamungkas berjaya menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya melengkapkan hatrik beliau malam ini menerusi jaringan yang cukup menarik. Hasil hantaran jauh dari sebelah kiri oleh Nazzab Hidzan, Bambang bijak mendada bola tersebut sebelum merembat terus ke penjuru gawang gol Kelantan. Kedudukan berubah menjadi 4-3 memihak kepada Selangor.

 

Pada minit ke-110, Selangor berjaya menambah jaringan apabila hantaran leret Bambang Pamungkas dari sebelah kiri berjaya ditolak masuk oleh Brian Fuentes. Jaringan tersebut cukup melegakan penyokong Selangor yang kelihatan agak resah sepanjang perlawanan malam ini.

 

Apabila mendahului dengan kelebihan dua gol, para pemain Selangor mula leka dan akibatnya, Kelantan berjaya memperoleh gol keempat apabila Sarif Sanyi berjaya melepasi pertahanan Selangor untuk merapatkan kedudukan 5-4 pada minit ke-115.

 

Namun, impian Kelantan untuk mengajak Selangor memperjudikan nasib dalam penentuan sepakan penalti tidak berjaya apabila mereka gagal mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil untuk menamatkan 120 minit yang penuh dramatik.

 

Lagu Merah Kuning yang dinyanyikan beramai-ramai oleh penyokong Selangor buat pertama kali musim ini selepas tamat perlawanan jelas menggambarkan keceriaan dan kepuasan hati setelah menyaksikan perlawanan yang cukup menghiburkan.

 

Selangor layak ke separuh akhir bersama-sama Perak, Public Bank dan Kuala Lumpur yang berjaya menewaskan lawan masing-masing.

 

1-JAMSARI SABIAN, 2-THARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 6-SAIFULNIZAM HUSSAIN, 19-D.SURENDRAN , 17-AMRI YAHYAH (3-RAZMAN ROSLAN), 12-K.SANBAGAMARAN (7-NAZZAB HIDZAN), 25-SHUKOR ADAN, 10-BRIAN FUENTES, 20-BAMBANG PAMUNGKAS, 23-KHALID JAMLUS (9-HARIS SAFWAN)