Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.07.05

Selangor, Brunei berentap di Stadium Shah Alam

Oleh: Berita Harian

Stadium Shah Alam yang sebelum ini ditutup untuk kerja-kerja pembaikan bakal bertukar menjadi pentas ‘majlis meraikan kembalinya Selangor dalam saingan pasukan elit - Liga Super 2006,’ apabila ia digunakan bagi pertemuan barisan Merah Kuning dengan Brunei, malam esok.

 

Selangor bimbingan Dollah Salleh perlukan dua mata lagi dari dua perlawanan terakhirnya untuk mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan A yang melayakkannya bersaing dalam Liga Super musim depan.

 

Namun Selangor tidak berminat untuk menunggu hingga perlawanan terakhir menentang ‘saudaranya’ MK Land pimpinan seorang lagi bekas bintang bola sepak Selangor Khan Hung Meng yang turut impikan tiket ke Liga Super.

 

Justeru, Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman ketika mengumumkan Stadium Shah Alam bakal menjadi gelanggang pertemuan dengan Brunei Rabu ini mengharapkan peminat pasukan itu supaya memenuhi setiap inci tempat duduk stadium berkenaan sekali gus memberikan sokongan padu.

 

“Orang ramai yang hadir ke Stadium Shah Alam juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah termasuk sebuah motosikal Modenass menerusi cabutan bertuah yang akan diadakan malam esok.

 

“Kami yakin peminat Selangor mahu melihat pasukan ini layak ke Liga Super musim depan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat FAS Kelana Jaya, semalam.

 

Dalam insiden 27 Mac lalu, satu rusuhan kecil berlaku akibat perasaan tidak puas hati di kalangan penyokong Selangor selepas perlawanan Selangor-Melaka ditangguhkan kerana hujan lebat yang menyaksikan padang dinaiki air.

 

“Kerosakan pada padang terutama sistem saliran sudah dibaiki. Ia sudah memenuhi syarat yang ditetapkan. Bagaimanapun, selepas tamatnya Piala Malaysia, stadium itu akan ditutup semula untuk menyambung kerja-kerja pembaikan,” katanya.