Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.07.05

Selangor mara ke Liga Super 06

Oleh: Harian Metro

Pemain meraikan kejayaan ke Liga Super (The Star)

Memang Dollah Salleh mempunyai sentuhan ajaib dan ia dibuktikan malam tadi apabila Gergasi Merah menunjukkan kegagahannya membenam Brunei 3-0, di Stadium Shah Alam.

 

Sentuhan itu juga membantu Merah Kuning kembali menebus maruahnya sebagai pasukan elit untuk bersaing dalam Liga Super musim depan apabila merajai takhta Kumpulan A Liga Perdana dengan 50 mata, meninggalkan pencabar terdekat, MK Land, lima mata di belakang.

 

Di hadapan kira-kira 20,000 penyokong setia Merah Kuning, Selangor agak hampa apabila gagal menembusi gawang Brunei selepas sepakan penalti penyerang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas, pada minit ke-17 diselamatkan, dan Selangor turut terselamat apabila Jamsari Sabian sekali lagi menjadi wira Merah Kuning dengan menepis sepakan penalti Oluseye Ajayi pada minit ke-44.

 

Bagaimanapun, kebuntuan jaringan pada babak pertama tidak mematahkan keyakinan Dollah terhadap kemampuan anak buahnya untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan itu, seperti jangkaannya sebelum perlawanan bermula.

 

“Saya memang tetap yakin bahawa kami akan menjaringkan gol dan tidak berasa kecewa apabila jaringan yang diharapkan tidak kunjung tiba pada separuh masa pertama.

 

“Semasa rehat, saya mengingatkan pemain supaya memperkemaskan permainan dan tidak kelam-kabut apabila mendapat peluang, mereka membuktikannya dan inilah hasilnya,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

 

Gol yang diimpikan Gergasi Merah menjadi kenyataan akhirnya apabila kapten pasukan, Shukor Adan menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-46.

 

Bambang menebus kesilapannya pada babak pertama apabila menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-74, jaringan ke-22 musim ini, hanya ketinggalan satu gol berbanding Marlon Alex James, penyerang MK Land yang disingkirkan minggu lalu.

 

Seorang lagi penyerang import Merah Kuning dari Argentina, Brian Fuentes menambah gol ketiga Selangor pada ke-87, gol ke-16 musim ini.

 

Dollah berkata, pujian harus diberikan kepada pemain yang memberi komitmen tinggi dalam perlawanan itu.

 

“Mereka bermain begitu baik malam ini terutama pada separuh masa kedua, berjaya mengawal permainan dengan bagus dan menyempurnakan peluang terhidang,” katanya.

 

Mengenai perlawanan terakhir menentang MK Land, Ahad ini, Dollah berkata, dia akan merehatkan pemain utama Merah Kuning bagi memberi peluang kepada pemain muda pasukan itu.

 

“Langkah ini diambil bagi membolehkan kesebelasan utama mempunyai rehat yang cukup selepas melalui musim yang padat dan bersiap-sedia menghadapi Kelantan di Stadium Shah Alam, Rabu minggu depan,” katanya.